Malaysiakini BERITA

ABIM anjur demo bantah pencabulan Al-Aqsa esok

Shakira Buang

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) akan menganjurkan demonstrasi aman "Untukmu, Ya Al-Aqsa" esok di Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kuala Lumpur.

Setiausaha agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata demonstrasi itu susulan pencabulan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh tentera Israel sehingga mengakibatkan kematian tiga rakyat Palestin, Jumaat lepas.

"ABIM mengecam sekeras-kerasnya pencabulan yang dilakukan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh tentera rejim Zionis Israel yang berterusan hingga hari ini.

"ABIM juga menyifatkan tindakan tersebut adalah tidak berperikemanusiaan, tidak bertamadun serta bertujuan sebagai alat provokasi membakar sentimen kebencian masyarakat Islam Palestin," kata Muhammad Faisal dalam sidang media di ibu pejabat ABIM, Kuala Lumpur.

Menurutnya, umat Islam harus bersatu untuk memberi tekanan kepada rejim Zionis Israel serta mempertahankan kedaulatan simbol maruah umat Islam itu.

Justeru, beliau menyeru umat Islam turut sama dalam demonstrasi yang akan diadakan selepas solat Jumaat dan bermula dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan AS.

Media Arab sebelum ini melaporkan polis Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan tidak membenarkan solat Jumaat selepas tiga penduduk Palestin dan dua polis Israel terbunuh dalam pertempuran bersenjata di perkarangan masjid berkenaan.

Susulan insiden itu, polis Israel mengarahkan orang ramai beredar dari Masjid Al-Aqsa dan menutupnya kepada awam.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada 16 Julai mengumumkan kawasan Masjid Al-Aqsa yang ditutup akan dibuka semula secara berperingkat. Penutupan kali pertama Masjid Al-Aqsa dalam tempoh lima dekad yang lalu telah meningkatkan ketegangan Israel-Palestin.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata lanjutan demonstrasi aman itu pihaknya turut melancarkan kempen #NaikMRTIngatPalestin.

Kempen berkenaan akan bermula malam ini di stesen MRT Kajang dan esok di Stesen MRT Muzium Negara bermula jam 10 pagi.

Muhammad Faisal berkata kempen ini adalah bagi meneruskan momentum kempen 'Save Al-Quds' kepada pengguna perkhidmatan MRT berhubung nasib malang rakyat Palestin.

Beliau turut meminta rakyat Malaysia khususnya pengguna MRT berkongsi hashtag #NaikMRTIngatPalestin dan #SaveAlquds sebagai tanda sokongan.

Selain itu, ABIM juga turut menyeru imam masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan umat Islam di Palestin serta Masjid Al-Aqsa.