Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 400,000 rakyat M'sia hidap Hepatitis C
Diterbitkan:  Jul 20, 2017 3:50 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Dianggarkan lebih 400,000 rakyat Malaysia menghidapi penyakit Hepatitis C ketika ini dan ia merupakan situasi yang membimbangkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Katanya, kebanyakan mereka tidak mengetahui menghidapi penyakit tersebut berikutan pengetahuan yang kurang.

Mereka perlu segera menjalani saringan kesihatan supaya tindakan lanjut boleh diambil, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Liver Update ke-12 anjuran Yayasan Hepar Malaysia (MLF) di sini selama empat hari bermula hari ini.

Beliau berkata kerajaan sedang berusaha bekerjasama dengan agensi-agensi antarabangsa bagi mewujudkan satu formula baharu yang boleh mengurang kos rawatan penyakit tersebut.

"Kini kosnya RM30,000-RM40,000 seorang bagi rawatan selama  12 minggu, dan kami berharap untuk menurunkannya kepadaRM1,000. sekiranya kami berjaya melakukannya, ia adalah kejayaan besar, kami dalam proses ke arah itu dan kami berharap menjelang satu hingga tiga tahun lain, kami dapat menyediakan kos murah itu," katanya.

Dr Subramaniam berkata satu lagi penyakit berkaitan hati yang berpunca daripada gaya hidup individu ialah lemak dalam hati.

"Penyakit ini menunjukkan peningkatan ketara dalam dunia secara amnya dan juga di negara kita. Ia berpunca daripada gaya hidup iaitu obesiti, isu kolestrol, kandungan lipid yang tinggi dalam darah dan mereka yang bekerja di pejabat, yang bukan memerlukan kecergasan terdedah kepada penyakit lemak dalam hati," katanya.

Beliau berkata terdapat kes-kes tertentu yang boleh menjadi lebih serius sehingga perlu menjalani pemindahan hati.

Sementara itu, Presiden MLF Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata tahap kesedaran mengenai risiko penyakit berkaitan hati masih kurang kurang dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Anda tidak tahu anda menghidapnya (hepatitis). Ia mungkin tiada simptom, ini masalahnya. Ia pembunuh senyap. Setiap orang berisiko. Jalani pemeriksaan darah untuk pengesanan awal bagi Hepatitis B dan C dan ubah gaya hidup anda untuk mengelakkan penyakit lemak dalam hati," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS