Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
14 Sept keputusan injunksi Consortium Zenith terhadap Huan
Diterbitkan:  Jul 20, 2017 3:55 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Mahkamah Tinggi di George Town hari ini menetapkan 14 September untuk keputusan injunksi yang dipohon Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd bagi melarang Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung projek terowong dasar laut.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk keputusan permohonan membatalkan tuntutan balas Huan terhadap syarikat itu.

Hakim Datuk Rosilah Yop menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Baljit Singh yang mewakili Huan dan peguam Tengku Haris Tengku Rostam, mewakili Consortium Zenith BUCG.

Baljit ketika ditemui pemberita berkata dalam penghujahannya beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa Consortium Zenith BUCG tidak lagi wujud pada 18 Januari tahun ini dan ditukar nama kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

"Selepas tarikh tersebut syarikat plaintif (Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd) tidak lagi wujud dan nama syarikat ditukar kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd. Ini ialah bantahan awal yang kami kemukakan. Bantahan awal dan penghujahan kedua-dua pihak telah dimasukkan.

"Pada 14 September ini mahkamah akan beri keputusan tentang dua perkara iaitu injunksi terhadap Datuk Huan Cheng Guan dan membatalkan tuntutan balas Datuk Huan Cheng Guan terhadap Consortium Zenith Construction Sdn Bhd," katanya.

Consortium Zenith, syarikat yang diberi kepercayaan membina terowong bernilai RM6.34 bilion itu, memfailkan saman terhadap Huan dan syarikat penerbitan media Utusan Melayu (M) Bhd pada 11 Ogos 2016 kerana didakwa menyebarkan tuduhan palsu terhadap syarikat itu selain memfailkan injunksi bagi melarang Huan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung projek itu. 

Pengerusi Consortium Zenith Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu sidang akhbar bahawa tuduhan itu mencemarkan reputasi syarikat berkenaan.

Bagaimanapun pada September tahun lepas, syarikat itu menukar namanya kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd selepas menggugurkan Beijing Urban Construction Group (BUCG) daripada projek pembinaan terowong dasar laut dan tiga jalan utama di negeri ini ekoran kejadian kren jatuh di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur yang menghempap Chim Khoo Sing, 24, dan menyebabkan wanita dari Pulau Pinang itu maut Ogos tahun lepas.

Consortium Zenith dianugerah projek itu menerusi proses tender. Consortium Zenith adalah usaha sama di antara Zenith Construction Sdn Bhd, China Railway Construction Co Ltd, Beijing Urban Construction Group, Sri Tinggi Sdn Bhd dan Juteras Sdn Bhd.

- Bernama

Lihat Komen
ADS