Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPAN belum putus permohonan naik surcaj pemuliharaan air di PP
Diterbitkan:  Jul 20, 2017 4:09 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menerima permohonan daripada kerajaan Pulau Pinang untuk menaikkan surcaj pemuliharaan air (SPA) bagi penggunaan domestik di negeri itu, namun masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Pengerusi SPAN Datuk Liang Teck Meng berkata keputusan itu masih belum dimuktamadkan memandangkan SPAN berpendapat jika kerajaan negeri berhasrat untuk menaikkan SPA, ia lebih sesuai dilakukan serentak dengan menaikkan kadar tarif, agar selari.

Sehubungan itu, katanya, jika kerajaan negeri juga bercadang untuk menaikkan tarif air, mereka diminta untuk membentangkannya bersama dengan cadangan menaikkan SPA.

"Kerajaan negeri perlu jelaskan rasional kenaikan tarif itu dan SPAN akan mengadakan pendengaran awam untuk mendapat maklum balas daripada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Batu Ferringhi hari ini.

Beliau berkata selepas semua proses berkenaan selesai, barulah ia akan dibawa ke kabinet untuk tindakan selanjutnya.

Turut hadir pada lawatan kerja itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Mohd Ridhuan Ismail; Pengerusi Indah Water Konsortium (IWK), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Mohamed Haniffa Abdul Hamid.

Mengenai lawatan kerja hari ini, Liang berkata SPAN dan IWK amat prihatin dalam usaha meningkatkan kecekapan dalam pengurusan sisa kumbahan demi menjamin pembangunan yang mampan dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata projek menaik taraf LRK Batu Ferringhi misalnya, berjaya menampung  aliran kumbahan yang semakin meningkat ekoran pembangunan pesat di samping dapat memastikan tiada pelepasan sisa kumbahan secara terus ke sungai dan laut di sekitar kawasan berkenaan.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS