Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahdzir: DAP ini dari dulu angkuh dan sombong

DAP disifatkan sebagai sebuah parti yang sombong dan angkuh berikutan keengganan mereka mengakui kesilapan sebaliknya menyalahkan pihak lain kononnya mahu menjatuhkan parti itu menjelang pilihan raya umum akan datang, kata seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kesombongan DAP terserlah selepas enggan mengakui kesalahan untuk mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu yang baharu.

"DAP ini daripada dahulu angkuh dan sombong. Dalam Parlimen dan berceramah pun tetap kata mereka yang betul. Orang lain semua tak betul dan dia seorang sahaja yang betul.

Bila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) minta buat semula pemilihan CEC, mereka tetap tidak mahu terima arahan itu. Semua mahu kata mereka betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sik di Sik, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti itu memutuskan untuk menangguhkan pemilihan semula CEC itu kerana mahu mendapatkan penjelasan RoS yang menyifatkan jabatan itu bertindak atas "berita palsu" semata-mata.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata jabatan itu tetap dengan keputusannya mengarahkan DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC itu.

Mahdzir berkata dalam sejarah UMNO sendiri, parti itu pernah diharamkan oleh RoS namun UMNO akur dengan keputusan tersebut.

"RoS tidak akan bertindak jika tidak mempunyai bukti kukuh dan apa susahnya DAP untuk mengikut arahan tersebut. Buatlah mesyuarat semula dan selesailah masalah itu," katanya.

Beliau juga turut menyelar tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini yang menuduh tindakan RoS itu ada kaitan dengan pilihan raya yang semakin hampir.

"Takkan semua nak kait dengan pilihan raya. Saya tak fikir tindakan RoS itu kononnya berkaitan pilihan raya. Ini soal peraturan dan undang-undang dan RoS ada hak untuk buat sebarang keputusan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS