Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini memandangkan mata wang negara maju itu meningkat semula selepas mencatat penurunan sejak Selasa berbanding mata wang utama lain, kata peniaga.

Beliau berkata, prestasi dolar AS itu didorong oleh tumpuan yang beralih dari AS ke Bank Pusat Eropah (ECB) yang mungkin menarik balik langkah akomodasi monetarinya, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.2900/2930 berbanding dolar AS daripada 4.2845/2885 ketika ditutup pada Rabu.

Peniaga berkata, kebimbangan mengenai kemampuan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk melaksanakan rangsangan fiskal di AS telah reda selepas kemungkinan langkah ECB menarik balik akomodasi monetarinya.

Keadaan itu ditambah dengan mesyuarat bank pusat Jepun yang memutuskan bagi mengekalkan kadar faedah di samping berusaha mencapai sasaran inflasi bagi enam bulan lagi.

“Oleh itu, kesemua faktor ini mempengaruhi minat pelabur ke atas mata wang negara pesat membangun di Asia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran FXTM, Hussein Sayed berkata, keputusan bank pusat Jepun itu telah dijangka banyak pihak memandangkan ia mengekalkan kadar dasar utama pada -0.1 peratus dan sasaran hasil bon kerajaan berjangka 10 tahun adalah sekitar sifar peratus.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1307/1340 daripada 3.1308/1342 pada Rabu, dan naik berbanding yen kepada 3.8174/8218 daripada 3.8272/8311 semalam.

Ringgit juga kukuh berbanding pound kepada 5.5620/5663 daripada 5.5801/5862 semalam, dan naik berbanding euro kepada 4.9348/9387 daripada 4.9396/9451 pada Rabu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS