Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MAQIS perlu tegas, cekap kawal kemasukan makanan import
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 7:26 AM
Dikemaskini: 11:32 PM

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)  perlu membuat penguatkuasaan lebih tegas dan cekap terhadap kemasukan makanan import bagi mengelak sebarang masalah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan penguakuasaan yang tidak tegas dan cekap boleh menjurus kepada penganiayaan terhadap pengguna terutama pengguna Muslim jika barangan tidak sepatutnya terlepas ke pasaran.

"Kita tahu akan ada yang akan ambil kesempatan, kali ini MAQIS dapat  buat rampasan tetapi yang akan datang mungkin akan bolos kalau tidak ada pengawalan yang kemas dan rapi. 

"Maqis perlu memikirkan sistem supaya tidak ada lagi kontena yang terlepas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 149  bakal haji kawasan Parlimen Pasir Salak di Pusat Khidmat Chenderong Balai di Pasir Salak semalam.

Isnin lepas, MAQIS berjaya menyita empat kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing bernilai kira-kira RM2 juta yang dibawa masuk dari Sepanyol dalam serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Mengenai majlis hari ini, Tajuddin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak berkata sumbangan yang diberikan diharap dapat membantu bakal haji membuat persiapan mental dan fizikal untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

  Mohamed Shoib Shaari, 62, dari Kampung Bel Labu Kubong  berkata dia akan menggunakan bantuan tersebut untuk perbelanjaan semasa menunaikan ibadah haji.

“Saya tidak tahu berapa banyak pembelanjaan yang diperlukan di sana, dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu menambah duit belanja saya di sana nanti,” katanya. 

Bagi Sainah Kusin, 85, dari Kampung Gajah, sumbangan tersebut amat bermakna buat diri dan anaknya.
       
 "Seronok sangat dapat bantuan ini, dapatlah saya dan anak buat tambah duit poket dekat sana nanti," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS