Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kesemua 191 ketua bahagian Umno sokong Najib'
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 7:40 AM
Dikemaskini: 11:44 PM

Kesemua 191 ketua bahagian Umno seluruh negara menyokong penuh kepimpinan dan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden parti dan perdana menteri, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurutnya, sokongan padu berkenaan dizahirkan oleh 191 ketua bahagian dalam pertemuan tertutup dengan perdana menteri di Seri Perdana di Putrajaya pada Rabu malam.

"Kesemua ketua bahagian Umno memberitahu perdana menteri bahawa mereka semua di belakang beliau demi agama, bangsa dan negara.

"Sokongan sedemikian adalah penting dalam memastikan parti adalah kuat dan kalis sebarang ancaman," katanya.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian serentak persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Putrajaya 2017.

Dalam ucapannya, beliau berkata mereka yang sudah meninggalkan parti tidak harus dipinggirkan sebaliknya terus didekati untuk kembali menyokong Umno.

Kata Tengku Adnan, beliau ada mendapat maklumat terdapat cubaan parti lawan yang juga parti serpihan Umno untuk memancing ketua-ketua cawangan di Putrajaya.

Justeru beliau menasihatkan kepimpinan Umno bahagian Putrajaya peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri untuk merapatkan diri dengan masyarakat dan turun padang untuk mengetahui masalah yang dihadapi rakyat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS