Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS ingatkan PKR - kita tak pernah cabar sesiapa
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 11:59 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi mengingatkan PKR agar tidak menuding jari dengan menuduh parti itu sebagai angkuh apabila melancarkan jentera pilihan raya di Parlimen Permatang Pauh.

Sebaliknya, menurut beliau, PKR perlu mengetahui sejarah sebelum mereka boleh bertapak di Permatang Pauh, yang dahulunya adalah kerusi tradisi PAS.

Akhbar Sinar Harian memetik Che Abdullah yang juga adalah ADUN Wakaf Baharu sebagai berkata, sebagaimana kesediaan PAS untuk bergerak sendirian dan bertanding di semua kerusi pada PRU 14 nanti, sewajarnya jentera parti digerakkan di semua kawasan.

“Nak bertanding atau tidak ia perkara lain.

“Bila nak pilihan raya kita kena lancar jentera parti. Kita tidak pernah mencabar sesiapa, (tapi) bila banyak cabaran kita ambil sikit-sikit,” katanya yang dipetik akhbar itu,” katanya.

Rabu lalu, Naib Presiden PKR, Tian Chua meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan PAS mengadakan program jentera pilihan raya di Parlimen Permatang Pauh pada Ahad lalu dan meminta parti berkenaan menghentikan segala tindakan yang boleh mencabar kesabaran mereka.

Menurut Chua, program PAS itu merupakan satu tindakan provokasi dan angkuh yang tidak membantu dalam usaha menewaskan rejim Umno-BN.

Malah, katanya, ia bercanggah dengan kenyataan pemimpin PAS yang menganggap parti itu masih sebahagian daripada pihak pembangkang yang ingin mengalahkan Umno-BN pada PRU-14 kelak.

Susulan kecaman itu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad menafikan dakwaan bahawa pelancaran jentera pilihan raya parti itu di Permatang Pauh sebagai satu tindakan provokasi dan angkuh.

Katanya, beliau percaya bahawa apa yang berlaku adalah sekadar interpretasi, sambil menambah bahawa seseorang itu berhak membuat kesimpulan masing-masing.

Malah, beliau turut mengakui bahawa PAS telah mula menggerakkan jenteranya di semua kawasan di seluruh negara.

Lihat Komen
ADS