Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jamal tunjuk bukti layak jadi ketua pemuda Ahad ini

Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan beliau berhak mencalonkan dirinya untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno bagi menggantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kata Jamal, hal itu kerana setiap individu mempunyai kelebihan masing-masing.

"Masing-masing ada kelebihan, semua pemimpin ada kelebihan dan saya tak pernah perlekeh Khairy.

"Saya hormat beliau sebagai tokoh orang muda dan ketua Pemuda Umno dalam negara ini.

"Beliau ada kejayaan sendiri, tetapi sesiapa pun boleh menawarkan diri.

"Saya rasa saya pun ada hak menawarkan diri sebagai calon ketua Pemuda Umno Malaysia," kata Jamal dalam sidang media selepas lawatan ke Stesen MRT Sungai Buloh hari ini.

Ketua pemimpin Baju Merah itu berkata demikian ketika diminta mengulas apakah beliau mampu menjadi lebih baik daripada Khairy sebagai Ketua Pemuda Umno.

Jamal ketika berucap dalam majlis perasmian mesyuarat Pemuda Umno Sungai Besar di Dewan Umno Sungai Besar sebelum ini meluahkan hasrat untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno bagi menggantikan Khairy jika jawatan itu kosong selepas pilihan raya umum akan datang.

Ketika ditanya apakah kelayakan akademik Jamal berbanding Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan itu, beliau berkata ia hanya akan didedahkan sewaktu perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda Pandan, Ahad ini di Ampang.

"Saya akan jawab pada 23 Julai ini di perasmian Pemuda Umno Pandan. Saya akan tunjukkan profil saya semua di sana," katanya.

Ditanya pandangannya terhadap sumbangan Khairy mempertahankan hak Melayu sebagai ketua Pemuda Umno, Jamal sekali lagi meminta supaya semua pihak menunggu 23 Julai ini.

Terdahulu, Jamal yang juga Ketua Umno Sungai Besar hari ini membawa 'ketua pembangkang' menyertai rombongannya bersiar-siar menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) yang baru memulakan perkhidmatannya 17 Julai lalu.

Jamal yang memang terkenal dengan gimik politiknya menaiki tren MRT dari stesen Stadium Kajang selepas tiba di situ kira-kira jam 10.45 pagi dan tiba di Stesen MRT Sungai Buloh sekitar jam 12.00 tengah hari.

Lihat Komen
ADS