Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan alu-alukan Dr M bertanding, biar rakyat nilai
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 3:50 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Gerakan mengalu-galukan hasrat Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi mengukur sejauh mana sokongan rakyat kepadanya.

Presidennya Datuk Seri Mah Siew Keong berkata sekiranya perkara itu berlaku (memilih untuk bertanding), rakyat mempunyai peluang menilai bekas perdana menteri itu.

“Parti Gerakan ucap ‘dipersilakan’ jika Tun Mahathir mahu bertanding dan rakyat boleh menilai,” kata Mah yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi dalam sidang media selepas persidangan perwakilan parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) negeri Terengganu ke-36 di Kuala Terengganu hari ini.

Semalam,  Dr Mahathir menyatakan tidak menolak kemungkinan akan bertanding di mana-mana kawasan sekiranya keadaanterdesak apabila tiada calon pilihan yang bersesuaian pada PRU14 nanti.  

Selain itu, Mah turut menyelar tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang membuat kenyataan di laman sosial Facebook dengan mendakwa tindakan Gerakan yang mahu memfailkan saman adalah tindakan 'double standard’.

Beliau berkata Gerakan baru sahaja mahu memfailkan saman buat pertama kali sedangkan Lim telah banyak melakukan tindakan itu (saman) terhadap pelbagai pihak.

“Gerakan membuat keputusan mahu saman sebab Lim telah memberi fakta salah kepada orang ramai dan ia demi maruah Gerakan dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan bekas Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Kami tidak tahan lagi… telah lama mereka menuduh pelbagai perkara.

“Beliau menyaman pelbagai orang termasuk media, jadi sekarang bagaimana beliau kata tidak beri beliau hak bersuara… Gerakan baru sekali saman. Tapi beliau kata kita ‘double standard’,” katanya.

Katanya  Gerakan telah menghantar notis kepada Lim dan saman akan difailkan di mahkamah dalam tempoh terdekat.

Beliau turut menzahirkan kekecewaannya apabila mendapati Lim seolah-olah cuba mengaibkannya dengan menggunakan gambarnya sedang makan roti bersama-sama dengan kenyataan ‘double standard’ tersebut. 

“Beliau gunakan gambar saya yang agak hodoh. Gambar itu mungkin diambil pada enam bulan lalu ketika saya cuba membuktikan kepada orang ramai bahawa penggunaan minyak kelapa sawit tidak menjejaskan kesihatan,” kata Mah.

Sementara itu mengikut rekod, Gerakan tidak pernah bertanding di  mana-mana kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Terengganu, sebaliknya aktif membantu Barisan Nasional.

 PGRM Terengganu yang dipimpin Pengerusinya Datuk Yap Kea  Ping telah ditubuhkan pada 1981 dan setakat ini mempunyai empat bahagian iaitu Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS