Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tragedi Taman Cantik: Polis, pistol dan wanita Vietnam
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 5:21 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Dua mayat dan sepucuk pistol, tetapi bagaimana turutan kematian itu berlaku masih menjadi tanda tanya kepada polis.

Dalam kejadian di Taman Cantik di Cheras itu, dua orang ditemui kaku tidak bernyawa di sebuah rumah dengan masing-masing mempunyai kesan tembakan.

Seorang daripada mereka dikenal pasti sebagai anggota polis yang bertugas di Bukit Aman. Dia dikatakan berkhidmat dalam pasukan siasatan khas bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mayat kedua dikenali pasti seorang wanita warga Vietnam.

Setakat ini polis percaya salah seorang daripada mereka mati akibat tindakan membunuh diri selepas menembak mati pasangannya.

Mayat kedua-dua mereka ditemui pihak berkuasa kira-kira jam 11 pagi tadi. Anggota PDRM itu berusia 25 tahun manakala pasangannya berusia 20-an.

Pasangan terbabit dikatakan ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan tembakan pada kepala dan badan, selain darah yang sudah kering di lantai, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh, berkata siasatan awal menunjukkan salah seorang yang terbunuh itu menembak mati pasangannya dan kemudian dia sendiri membunuh diri.

Sepucuk pistol jenis Styer M6 milik PDRM ditemui di tangan wanita warga asing berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kataya.

Lihat Komen
ADS