Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM Pahang terus tumpu pada pembalakan, bauksit
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 7:36 PM
Dikemaskini: 11:38 AM

Pengurusan baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang akan terus memberi tumpuan kepada usaha menangani rasuah melibatkan sektor kritikal seperti pembalakan dan perlombongan di negeri itu.

Pengarahnya Datuk Alias Salim berkata usaha membanteras jenayah rasuah perlu dipergiat bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan agensi itu selain mengekang berlakunya ketirisan dalam perolehan kerajaan.

"SPRM Pahang sentiasa serius melaksanakan tugas terutamanya terhadap kes melibatkan sektor perolehan kerajaan, pembangunan dan pembinaan serta pembalakan yang mengakibatkan beban kewangan dan ketirisan yang memberi impak besar kepada pendapatan negara.

"Tumpuan juga diberi kepada peranan orang tengah yang sering mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan demi kepentingan diri sendiri atau pihak berkepentingan yang menjadi pencetus kepada perlakuan jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya.

Alias berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Tugas daripada pengarah terdahulu Datuk Tan Kang Sai yang disaksikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abdul Ghani.

Alias yang merupakan bekas Pengarah Bahagian Integriti di Jabatan Imigresen memulakan tugasnya pada 3 Julai lepas bagi menggantikan Tan yang dilantik sebagai Ketua Integriti di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan sebanyak 16 agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) di Pahang telah menandatangani dan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), termasuk pentadbiran kerajaan negeri dan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Beliau juga berharap usaha SPRM menangani rasuah dan mendidik masyarakat untuk menjauhi rasuah mendapat sokongan semua pihak termasuk media, yang disifatkannya sebagai medium paling berkesan untuk mendekati orang ramai.

"Laporan yang didedahkan melalui media juga dapat membantu merealisasikan hasrat pengurusan tertinggi SPRM untuk membanteras gejala rasuah sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS