Mungkinkan kerajaan akan menyediakan kertas putih mengenai campur tangan asing dalam isu 1MDB?
Itu persoalan yang cuba didapatkan jawabannya oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun nasib kepada soalan dan jawaban itu masih tidak menentu buat masa ini.
Bercakap di Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab sebentar tadi Dr Wan Azizah meminta Timbalan Speaker Datuk Seri Ismail Mohamed Said memberikan panduan mengenai isu berkenaan.
"Saya perlu panduan soal kertas putih 1MDB bagi menerangkan campur tangan asing dalam 1MDB.
"Ia bukan mengenai 1MDB tetapi tentang campur tangan asing 1MDB. (Kes) 1MDB tak ada dalam mahkamah," katanya mengenai usul itu yang nampaknya ditolak.
Ismail bagaimanapun berkata soalan berkaitan perintah tetap sepatutnya dibangkitkan selepas sesi soal jawab berakhir.
"Saya akan jawab pada masa itu," katanya.
Mengikut jadual sesi soal jawab berakhir pada jam 11.30 dan Dr Wan Azizah dijangka mengadakan sidang media mengenai isu kertas putih itu hari ini.
