Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Untuk menyelesaikan kemelut Felda Global Holdings Berhad (FGV), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa menyingkirkan semua pengerusi dan ahli lembaga pengarah badan itu yang didakwa meneruskan legasi Tan Sri Isa Samad.

Penasihat Suara Generasi Kedua Felda (SGK2F) Datuk Zulkefli Nordin berkata pengerusi FGV ketika ini, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob pula tidak membersihkan ahli lembaga pengarah FGV seperti yang diharapkan.

"Pada peringkat awal semasa beliau baru dilantik, saya beri sepenuh kepercayaan untuk buat perubahan di FGV. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Kami rasa terkilan dengan apa yang berlaku di FGV sekarang. Kalau dulu bila Tan Sri Shahrir Samad ambil alih Felda, alhamdulillah, beliau buat perubahan yang amat drastik.

"Dia bersihkan ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation (FIC).

"Tetapi ini tidak berlaku di FGV apabila pengerusi baharu dilantik. Beliau mengekalkan beberapa nama yang mempunyai sejarah kontroversi," katanya pada sidang media di Hotel Grand Season Kuala Lumpur hari ini.

Krisis FGV tercetus selepas lembaga pengarah, yang diketuai oleh Isa mengarahkan presiden dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, bercuti kerana didakwa gagal mematuhi peraturan urus tadbir korporat.

Teruja sekejap saja

Zakaria kemudian menuduh lembaga pengarah cuba membuat urusan pelaburan yang "tidak masuk akal", tetapi telah dinafikan oleh lembaga tersebut.

Sulaiman pula dilantik menjadi pemangku kepada jawatan Isa.

Perdana Menteri kemudian menugaskan bekas menteri, Datuk Seri Idris Jala untuk menyiasat kemelut itu, yang berakhir dengan menyerap Isa ke Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Zakaria menghadapi prosiding tatatertib.

Zulkefli bagaimanapun berkata, dua wakil Felda yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah FGV baru-baru ini bolehlah dikekalkan kerana mereka masih baru dan mewakili suara peneroka.

Sementara itu Ketua Penerangan SGK2F Zainuddin Zainal berkata masalah mula berlaku di FGV apabila Isa mengarahkan Zakaria untuk bercuti tanpa sebab-sebab munasabah.

"Selepas tekanan diberikan pelbagai pihak, Isa mengundurkan diri dan berhenti sebagai pengerusi FGV.

"Kami teruja selepas Sulaiman dilantik, (berharap) akan ada perubahan. Tetapi malangnya sehingga hari ini kita tak nampak perubahan drastik. Malahan krisis FGV berlanjutan sehingga hari ini dan tidak dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Zainuddin berkata, "legasi Isa Samad" masih ada dalam FGV dan keputusan dibuat pengerusi sebelum ini diteruskan ahli lembaga pengarah sekarang.

"Merujuk kepada kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Datuk Seri Puad Zakarshi, nampak seperti ada komplot untuk menjatuhkan Zakaria.

"Kami bersetuju dengan pendapat Puad itu. Seperti dikatakan Puad, Zakaria ini nak dijadikan kambing hitam untuk disabitkan dengan beberapa kesalahan," katanya.

Lihat Komen
ADS