Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Harapan (HARAPAN) telah menghantar draf perlembagaan gabungan parti pembangkang itu secara atas talian kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini.

Menurut Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad, beberapa wakil pimpinan HARAPAN dijadual bertemu ROS bagi mengadakan perbincangan mengenai draf berkenaan pada pukul 3.30 petang tadi.

"Perlembagaan parti, kita telah sampaikan pada ROS melalui online atas kehendak ROS sendiri. Kita telah bersetuju dengan draf perlembagaan kita.

"Kita harap tak ada masalah, namun kalau ada pembetulan yang perlu dibuat atas arahan daripada ROS, kita bersedia untuk membuat pembetulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat ketua pembangkang di parlimen.

Selain itu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu memberitahu, gabungan pembangkang itu juga telah menubuhkan jawatankuasa pilihan raya yang terdiri daripada ketua pilihan raya daripada parti masing-masing.

Jawatankuasa pilihan raya itu akan diketuai oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu HARAPAN turut melantik anggota jawatankuasa DAP Gobind Singh Deo mengetuai Biro Guaman, manakala Tony Pua mengetuai Biro Penerangan.

"Jawatankuasa Sabah dan Sarawak juga akan diwujudkan dan sayap angkatan muda dan wanita akan ditubuhkan. Ia akan disahkan oleh mesyuarat majlis presiden nanti," katanya lagi.

Pada 14 Julai lalu, struktur dan logo HARAPAN berjaya dimuktamadkan dan Mahathir secara rasmi dilantik sebagai pengerusi gabungan pembangkang itu.

Dalam struktur berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai ketua umum HARAPAN manakala Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, HARAPAN belum mengemukakan permohonan pendaftarannya kepada ROS kerana ingin menyiapkan perlembagaannya terlebih dulu.

Barisan kepimpinan, logo dan perlembagaan HARAPAN menjadi halangan utama dalam usaha gabungan berkenaan untuk mendaftar dan bertanding di bawah satu simbol dalam pilihan raya umum akan datang.

Sekiranya ROS tidak meluluskan permohonan HARAPAN, parti-parti komponennya perlu menghadapi pilihan raya umum yang akan datang di bawah logo parti masing-masing, yang dilihat akan memberi kelebihan kepada BN.

Lihat Komen
ADS