Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
24 mati, kereta sarat bahan letupan rempuh bas di Kabul
Diterbitkan:  Jul 24, 2017 6:10 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

GLOBAL l Seramai 24 orang awam terbunuh dan 42 lagi cedera selepas sebuah kereta sarat dengan bahan letupan merempuh sebuah bas mini yang membawa pegawai kerajaan di barat Kabul, Afghanistan pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua.

"Seorang pengganas memandu kereta dan merempuh sebuah bas mini yang membawa pekerja Kementerian Perlombongan dan Industri di daerah Gola-e-Dawakhana, kira-kira pukul 6.50 pagi waktu tempatan," menurut seorang saksi Abdul Jalil kepada Xinhua.

Kejadian itu disahkan Kementerian Dalam Negeri Afghanistan beberapa jam kemudian menerusi satu kenyataan.

Daripada jumlah kematian, 12 terdiri penumpang bas, tiga kenderaan dan 15 buah kedai turut musnah.

Lokasi kejadian berhampiran dengan kediaman Mohammad Mohaqiq iaitu timbalan kepada Ketua Eksekutif Abdullah Abdullah juga berdekatan dengan sebuah universiti swasta dan dewan perkahwinan.

Kumpulan militan Taliban mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Pemberontakan diketuai Taliban kian berleluasa sejak penghujung April dengan kumpulan militan melancarkan serangan di pelbagai kawasan.

Menurut laporan pejabat misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada separuh pertama tahun ini, lebih 1,660 orang awam terbunuh dan lebih 3,580 cedera dalam insiden berkaitan konflik di seluruh Afghanistan.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS