mk-logo
Berita
Salleh: Anwar, Kit Siang takkan benarkan Dr M jadi PM
Diterbitkan:  Jul 25, 2017 2:56 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau mendakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang tidak akan membenarkan Mahathir memimpin negara selepas apa yang dilakukan bekas perdana menteri itu pada masa lalu.

"Itu belum kira lagi tindakan bunuh diri bagi HARAPAN jika mereka menghadapi pilihan raya umum yang akan menjanjikan pengundi untuk kembali kepada Mahathirisme," katanya dalam satu blog.

Salleh berkata, jika ahli politik berusia 92 tahun itu percaya beliau akan menjadi perdana menteri sekali lagi, maka Mahathir tidak berpijak di bumi nyata.

Menteri itu juga mengingatkan Mahathir mengenai pilihan raya umum 2004, di mana BN mendapat keputusan terbaik dalam sejarah selepas bekas perdana menteri itu bersara tahun sebelumnya untuk digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, pengundi gembira melihat Mahathir bersara.

Salleh mendakwa cadangan untuk menjadikan Mahathir perdana menteri bukanlah tulen dan semata-mata untuk meyakinkan beliau agar terus menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

[Baca berita penuh]

 

 

Lihat Komen
ADS