Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua lelaki didakwa miliki RM167,900 wang palsu

Dua lelaki termasuk seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas tuduhan memiliki 1,679 keping wang palsu RM100 yang bernilai RM167,900.

Chan Hui Boo, 70, dan Mohd Nasir Aman, 59, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim G. Ramesh.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama-sama memiliki 1,679 keping mata wang kertas palsu dengan mengetahui dan mempercayainya sebagai palsu serta dengan niat hendak menggunakannya sebagai tulen di belakang sebuah hotel di Jalan Sheikh Ahmad, Seremban pada kira-kira 7.50 malam, 10 Julai lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat yang kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Datuk Hanif Hassan, yang mewakili kedua-dua tertuduh, berkata jumlah itu terlalu berat memandangkan tertuduh merupakan warga emas yang masing-masing bekerja sendiri dan memohon wang jaminan dikurangkan kepada tidak lebih RM5,000.

Hakim kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM6,000 setiap seorang dan menetapkan 22 Ogos depan untuk sebutan kes.

-Bernama

Lihat Komen
ADS