Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Grafiti Negaraku' luahkan rasa cinta kepada negara
Diterbitkan:  Jul 25, 2017 5:05 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Sejumlah 200 peserta termasuk kanak-kanak autisme dan pengamal media hari ini menyertai program 'Grafiti Negaraku' dalam meluahkan rasa cinta kepada negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata program anjuran Jabatan Penerangan itu dilihat sebagai platform terbaik dalam menyemarakkan semangat patriotik di semua peringkat masyarakat menerusi lukisan grafiti.

"Kita mahu semua peringkat masyarakat termasuk anak autisme ini diberi peluang untuk merasai sendiri bagaimana menyambut dan meraikan bulan kemerdekaan ini, sebab selalunya kita lihat orang ramai sambut (Hari Kebangsaan) di Dataran Merdeka.

"Program ini juga bertujuan mengukuhkan kerjasama sedia ada antara Jabatan Penerangan dengan pengamal media termasuk daripada media cetak, elektronik dan dalam talian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Graviti Negaraku' Media Massa Bersama Kanak-kanak Autisme di Klang.

Turut hadir, Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahruddin.

Menurut Ibrahim, program tahunan berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan sejak 2015 itu, turut dilihat mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat termasuk golongan istimewa dengan sokongan daripada media sebagai rakan strategik jabatan itu.

"Ini merupakan program kedua diadakan bersama NASOM, yang membabitkan golongan anak-anak autisme berusia antara tiga hingga 18 tahun.

"Sebagaimana kita sedia maklum, kanak-kanak autisme ini mempunyai pelbagai minat termasuk dalam seni dan lukisan...jadi menerusi program ini mereka boleh pamerkan kebolehan mereka sekali gus terlibat secara langsung dalam sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini," katanya.

Antara agensi media yang terlibat dalam program lukisan grafiti berkonsepkan Negaraku Sehati Sejiwa itu ialah Kumpulan Karangkraf, Bernama News Channel, New Straits Times, Kosmo, RTM, Selangor FM, Makkal Osai, Malaysia Nanban dan Malaysia Aktif.

- Bernama

Lihat Komen
ADS