Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang Saari Sungib menjelaskan beliau melepaskan jawatan dalam kumpulan aktivis reformasi Otai Reformis kerana hormat keputusan partinya.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor itu bagaimanapun berkata tindakannya itu tidak akan lebih daripada itu.

"Saya cuba jadi profesional dan tak emosi terhadap Dr Mahathir tetapi saya meminimumkan sokongan saya kepadanya. Saya sokong Mahathir atas dasar parti dan Pakatan Harapan.

"Tetapi Salam-salam, cium Mahathir saya tak buat. Saya akur Mahathir antara orang penting untuk tumbangkan Najib dan BN, jadi saya bersama dia,” katanya.

Otai Reformis dalam kenyataannya kelmarin meminta anggotanya yang mempunyai jawatan dalam Pakatan Harapan keluar daripada kumpulan itu.

Isu susulan pendirian mereka yang menolak kepimpinan Mahathir yang kini dilantik sebagai pengerusi Pakatan Harapan.

Kumpulan itu dianggotai oleh aktivis politik yang menggerakkan reformasi pada 1998 bagi menuntut peletakan jawatan Mahathir setelah memecat timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setelah perseteruan 18 tahun, Anwar dan Mahathir mengejutkan ramai pihak setelah bergabung tenaga kembali untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan dakwaan skandal 1MDB.

Sementara itu, Saari ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor di Shah Alam juga akur terhadap perhubungan pembangkang dengan Mahathir, sejak Deklarasi Rakyat diputuskan sebelum ini.

"Saya tak boleh paksa orang (terima Mahathir) tetapi bagi saya, saya faham keputusan bawa Dr Mahathir dalam deklarasi rakyat telah dibincang dalam parti dan saya hormat keputusan parti.

“Itu level saya,” katanya.

Selain AMANAH, HARAPAN dianggotai oleh PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Lihat Komen
ADS