Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada syarikat penyedia loji pengurusan alam sekitar (EMP).

Penahanan dibuat kira-kira pukul 4 petang di pejabat SPRM Johor di Johor Bahru.

Suspek berumur 40 tahun berjawatan Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan dan merupakan Ketua Bahagian Pembangunan dan juga Ketua Unit Penguatkuasaan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) JAS, Johor Bahru.

Siasatan awalan mendapati wujud kemasukan wang rasuah RM4,000 ke dalam akaun syarikat milik suspek daripada sebuah syarikat yang menyediakan EIA, EMP, Laporan Pemantauan Alam Sekitar (EMR) dan kerja-kerja audit berkaitan alam sekitar pada pada 1 Disember 2016.

Wang rasuah berkenaan dibayar kepada suspek kerana meluluskan EMP yang disediakan oleh syarikat berkenaan untuk syarikat pemaju melibatkan projek di Mukim Pulai, Johor.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000.00 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata SPRM dijangka membawa suspek ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok, untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS