Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesara Jabatan Penerangan diminta kenang budi
Diterbitkan:  Jul 26, 2017 6:35 AM
Dikemaskini: 11:17 PM

Pesara jabatan kerajaan khususnya pesara Jabatan Penerangan diminta supaya sentiasa bersyukur dan mengenang budi kerajaan.

Pengarah Jabatan Penerangan Kedah, Aziman Hasan berkata kebanyakan pesara kerajaan yang telah berkhidmat lebih daripada 30 tahun dan memiliki pengalaman luas berupaya menentukan sesuatu perkara yang baik atau buruk.

"Mereka perlu tahu mengenang budi dan bersyukur kerana dengan tempoh perkhidmatan mereka yang sebegitu lama, takkan tiada manfaat yang pernah mereka kecapi daripada kerajaan.

"Adalah tidak wajar jika pesara yang bertindak menentang kerajaan sedangkan mereka sepatutnya turut sama membantu
kerajaan dalam mengekalkan apa yang telah  dinikmati," katanya kepada Bernama pada Program Jalinan Kasih Rakan Strategik Jabatan Penerangan Kedah di Sungai Petani semalam.

Sementara itu Aziman berkata peranan Jabatan Penerangan kepada masyarakat masih relevan walaupun usianya sudah
memasuki 107 tahun.

"Kita telah melalui perubahan zaman demi zaman walaupun media siber seakan mendominasi, namun pendekatan secara
komunikasi bersemuka lebih berkesan untuk mendekati hati dan jiwa rakyat," kata Aziman.

Di majlis itu seramai 35 pesara Jabatan Penerangan diraikan.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib selaku penceramah jemputan berkata pesara kerajaan perlu terus dilibatkan dengan jabatan walaupun mereka sudah bersara.

"Khazanah pengalaman dan ilmu yang dimiliki mereka boleh dimanfaatkan untuk kepentingan ummah dan negara. Mungkin mereka boleh diangkat sebagai 'duta kecil' bagi jabatan masing-masing untuk terus mendekatkankerajaan dengan rakyat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS