Paling Popular
Terkini

Seorang ibu dan anak lelakinya terpaksa mencari teduh di sebuah restoran McDonald di Petaling Jaya selepas mereka diusir keluar kerana gagal membayar sewa bilik.

Kisah pilu hidup mereka mendapat perhatian Justin Cheah, pengarah projek Kechara Soup Kitchen Society, selepas menerima panggilan daripada seorang sukarelawan pada awal pagi Ahad.

Beliau diberitahu bahawa ibu dan anak itu, Puan Mah, 61, dan Wong, 23, berada di restoran makanan segera yang terletak berhampiran dengan bangunan CurveNX, bersebelahan pusat beli-belah The Curve.

Sejurus tiba beliau sempat berjumpa dengan mereka dan kisah wanita itu dan anaknya dicatatkan di Facebook.

Mah dilaporkan memberitahu Cheah (foto, kanan), dirinya menjadi gelandangan selepas kehilangan pekerjaannya sebagai seorang pembersih lebih setahun lalu, dan tidak lagi dapat membayar sewa biliknya.

"Dia kehilangan suaminya beberapa lama lalu dan terpaksa membesarkan anaknya seorang diri.

"Mereka cuba mencari kerja tetapi tidak berjaya kerana penampilan dan berbaju kotor serta tidak terurus," katanya.

Menurut Cheah, anaknya kelihatan "lembam" dan tidak mempunyai keyakinan diri.

Beliau berkata, pasangan ibu dan anak itu lazimnya menghabiskan masa mereka di restoran berkenaan dan juga tidur di sana.

B Kasthuri, 30, juruwang di cawangan resoran berkenaan mengakui pernah melihat mereka berkali-kali.

"Kadang-kadang saya lihat mereka, tetapi saya tidak perasaan mereka bermalam di sini sejak satu tahun lalu,” kata Kasthuri.

Seorang pekerja resoran itu yang hanya mahu dikenali sebagai Punitha, berkata pengurus cawangan berkenaan membenarkan mereka yang tidak mempunyai tempat berteduh untuk tidur di dalam resoran itu.

"Kadang-kadang pada waktu malam mereka akan datang dan tidur di dalam. Biasanya, saya nampak mereka (gelandangan) apabila saya pulang lewat."

Cheah berkata, beliau kemudian menawarkan mereka untuk bermalam di sebuah bilik hotel di Imbi, Kuala Lumpur, selepas mendapati mereka tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan tinggal di jalanan.

Tawaran itu tidak ditolak dan mereka menerimanya dengan gembira.

Namun, kedua-dua mereka meninggalkan bilik hotel pada keesokan harinya dan tidak dapat dikesan meskipun Cheah cuba mencari di sekitar jalan-jalan di Kuala Lumpur.

Malah pasangan itu juga meninggalkan beg pakaian dan kelengkapan yang diberikan kepada mereka, kata Cheah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS