Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Nur Hidayah Low tak pernah ingin murtad
Diterbitkan:  Jul 26, 2017 5:01 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Saudara baru yang tinggal di Padang Besar, Perlis, Nur Hidayah Low Abdullah tidak murtad akibat kesusahan hidup, seperti yang ditularkan di Internet.

“Beliau selalu hadir kelas agama PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam) dan tidak pernah ingin murtad ataupun menyerahkan anak kepada pihak lain seperti yang ditularkan,” kata Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin.

Katanya, asnaf zakat itu juga mendapat bantuan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Perkim.

Bahkan iman kampungnya menetap turut menumpangkannya di rumah kedai beliau secara percuma, menurut Asri lagi yang berkunjung ke rumahnya semalam.

Bagaimanapun, kata Asri lagi, Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) merasakan Nur Hidayah memerlukan rumah yang lebih selesa dan akan mengusahakan.

“Jika sesiapa ingin menghulurkan bantuan, beliau memang dalam kategori asnaf zakat. Silalah berbuat kebajikan.

“Akhirnya, saya ingin menyebutkan, hari ini pelbagai organisasi di Perlis dan luar Perlis bertalu-talu ke rumah beliau untuk menghulurkan bantuan.

“Saya selaku Mufti Negeri dan mewakili MAIPs mengucapkan terima kasih yang amat. Ia merupakan lambang keprihatinan kita semua terhadap saudara Muslim kita,” katanya.

Menulis di Facebook, mufti Perlis berkata, anak kelahiran Melaka itu diceraikan dan terpaksa menanggung kehidupan bersama dua anaknya.

“Anaknya yang pertama berusia 8 tahun bersekolah dengan baik,” katanya lagi.

Dihujani ratusan soalan sama

Sementara itu, ibu tunggal itu turut menafikan mahu menyerahkan dua anak kecilnya kepada orang lain bagi meneruskan hidup dan kesal dengan pihak yang menularkan berita palsu mengenainya.

"Saya terkejut apabila mendapat tahu mengenainya dan sudah menerima beratus panggilan daripada orang tidak dikenali sebelum jam 5 pagi lagi bertanya mengenai status anak," beliau dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Ibu kepada dua anak perempuan berusia lapan tahun dan sembilan bulan itu berkata, dia terpaksa menutup telefon bimbit bagi mengelakkan daripada diganggu dengan ratusan soalan yang sama.

Kisah Nur Hidayah Low Abdullah yang tular di media sosial Facebook dan WhatsApp menyebabkan ramai pihak yang prihatin hadir ke rumahnya pagi semalam bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu.

Lihat Komen
ADS