Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rabies: Zon penampan antara Sri Aman dan Sarikei
Diterbitkan:  Jul 27, 2017 6:13 AM
Dikemaskini: 10:15 PM

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk mewujudkan satu zon penampan antara Sarikei dan Sri Aman bagi mengekang penularan wabak rabies atau penyakit anjing gila ke kawasan lain di Sarawak.

Di zon itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan membuat pemantauan dan mengambil sampel anjing untuk ujian makmal terutama di kawasan bandar, bagi menentukan status kawasan tersebut.

“Pihak Majlis Kerajaan Tempatan di kawasan berkenaan pula akan mengambil tindakan untuk memastikan tiada anjing liar berkeliaran di kawasan seliaan mereka,” menurut sekretariat jawatankuasa itu dalam kenyataan lewat petang semalam.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pencegahan dan Pengawalan Wabak Rabies (Sarawak-Kalimantan Barat) baru-baru ini bersetuju meningkatkan kerjasama antara dua negara bagi mengekang penularan wabak itu dengan memberi penekanan kepada lima perkara.

Ia terdiri daripada usaha mewujudkan komunikasi dua hala antara JPVS dengan Dinas Kesehatan Hewan, saling bertukar maklumat berkenaan dengan wabak Rabies, mewujudkan “Immune Belt” atau jalur imun di sempadan kedua-dua negara, melarang eksport dan import haiwan, dan saling bertukar pengalaman serta latihan sekiranya perlu.

Sejak Kementerian Kesihatan mengumumkan mengenai penularan jangkitan  rabies terhadap manusia di daerah Serian awal bulan ini, lima orang telah meninggal dunia akibat penyakit itu di Sarawak, dengan yang terbaru membabitkan seorang lelaki berumur 52 tahun pada 23 Julai lepas.

Sementara itu, sekretariat jawatankuasa itu memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan  Sarawak telah mewujudkan klinik gigitan anjing di Hospital Serian, Hospital Sri Aman, dan Hospital Umum Sarawak serta Klinik Kesihatan Sentosa di Kuching, khusus untuk memberi perkhidmatan pengurusan kes-kes gigitan anjing.  

Bagi yang tinggal di luar daripada kawasan klinik-klinik berkenaan, mereka yang pernah digigit anjing dinasihati mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan atau hospital yang berhampiran, khususnya bagi kes-kes gigitan yang berlaku sejak April.

Sehingga kini jumlah haiwan peliharaan yang telah diberi suntikan vaksin di Sarawak setakat ini adalah 18,144 ekor terdiri daripada 10,504 anjing, 7,595 kucing dan selebihnya haiwan-haiwan lain.

“Buat masa ini stok simpanan vaksin untuk haiwan adalah mencukupi. Pihak JPVS akan melakukan operasi pemvaksinan secara besar-besaran dan terancang di tempat-tempat tertentu, yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui media masa,” menurut kenyataan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS