Paling Popular
Terkini

ULASAN | Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pasti bangga melihat aksi Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Segerombolan Pemuda Umno yang dipimpin exconya Datuk Armand Azha Abu Hanifah begitu garang menghalang niat Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang ingin menyerahkan surat jemputan untuk perdana menteri menghadiri program Nothing To Hide 2.0 mereka.

Pada 1 Julai lalu, Tajuddin yang juga merupakan anggota Majlis Tertinggi Umno menempelak pemuda partinya agar menjadi anak jantan mempertahankan presiden atau timbalan presiden apabila diserang pembangkang.

Perkembangan semasa Pemuda Umno hari ini pasti melegakan kebanyakan pemimpin Umno yang berkongsi minda seperti Tajuddin.

Pemuda Umno kini memiliki imam di bazar Kluang yang proaktif menghalang 'niat jahat' pembangkang mengedar kurma dan risalah di pasar Ramadan.

Pemuda Umno juga ada hulubalang yang setia mengawal PWTC. Siap dengan aksi kejantanan dengan berteriak, bersorak-sorai dan laga-laga badan.

Bukankah ini ciri-ciri pemuda yang dimahukan kebanyakan pemimpin Umno? Garang mempertahankan kepimpinan walaupun terpaksa mempamerkan kerendahan moral dan akal.

Membekas di hati

Jelas juga Khairy Jamaluddin Abu Bakar bukan lagi pilihan yang ideal untuk memimpin Pergerakan Pemuda Umno.

Menteri Belia dan Sukan itu tidak kelihatan di PWTC dan beliau juga masih sunyi daripada memberi reaksi kepada terjahan awam mengenai skandal 1MDB.

Letak jawatanlah, Khairy.

Walaupun kecewa melihat kualiti Pemuda Umno, tetapi ada sedikit lega apabila melihat mereka tetap dan masih pemuda yang sama.

Ternyata pergerakan yang menghimpunkan orang muda dalam Umno ini tidak lut kebijaksanaan dan sangat berbeza dengan kematangan.

Budaya sabung badan, maki hamun dan samseng hidup subur seolah-olah sentiasa diternak untuk diwariskan secara turun-temurun.

Lucu sungguh membaca respon Ketua Pemuda Umno Wilayah, Datuk Razlan Rafii yang mengatakan cukuplah tragedi Adam Adli menurunkan panji wajah Najib pada 2011 dulu menjadi sejarah hitam buat mereka.

Ternyata kejadian itu cukup membekas di hati Pemuda Umno seperi Armand dan Razlan. Armand jugalah yang muncul selepas itu sehingga dipersenda sebagai "Panglima Ludah" kerana mengancam ingin meludah Adam melalui video yang dirakam dan tular pada ketika itu.

Jika begitu sensitifnya Pemuda Umno, bila agaknya mereka akan mengadakan mogok di hadapan Kedutaan AS bagi memprotes tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) negara berkenaan yang kini mengaibkan pemimpin nombor wahid negara?

Mengapa tidak Pemuda Umno melaga-laga badan di pagar Kedutaan AS?

Kita tidak perlu mengharapkan Pemuda Umno berubah kerana sudah hampir pasti mustahil mereka berubah.

Apa yang perlu rakyat yakini ialah Pemuda Umno, Umno dan BN adalah masa lalu Malaysia.

Negara pada hari ini memerlukan reformasi secara menyeluruh bagi menyelamatkan ekonomi, politik dan sosial.

Ayuh kita jadikan pilihan raya umum ke-14 akan datang sebagai titik mula untuk menggapai Malaysia yang lebih mensejahterakan rakyat.


SYUKRI RAZAB ialah setiausaha pengelola Pemuda PKR, ketua penyelaras Sekretariat Pemuda Pakatan Harapan dan aktivis sepenuh masa Invoke Malaysia.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS