Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Patut beri lebih insentif bukan hapuskan elaun'
Diterbitkan:  Jul 27, 2017 12:08 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Lebih banyak insentif seharusnya diberikan kepada mereka dalam bidang profesion perguruan dan bukannya cadangan menghapuskan elaun guru pelatih, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

"Kerajaan harus segera mengkaji semula cadangan yang cacat itu dan melupakan hasrat untuk menghapuskan elaun sara diri dan balik kampung guru pelatih.

"Profesion perguruan sepatutnya diberi lebih banyak insentif untuk menarik bakat lebih baik.

"Jika mahu kualiti pendidikan di sekolah dipertingkatkan, maka kualiti guru perlu diberikan keutamaan," kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, lebih mengejutkan lagi, adalah saranan supaya menggantikan elaun guru pelatih dengan pinjaman PTPTN, kerana ini akan menambahkan beban guru pelatih.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dilaporkan sedang berunding dengan PTPTN untuk menjadikan elaun sara diri guru pelatih sebagai pinjaman untuk pengambilan tahun depan.

Zairil mendakwa bahawa ini membuktikan kerajaan sedia mengorbankan masa depan negara untuk menutup kelemahan pentadbirannya.

"Daripada menangani masalah pembaziran, rasuah dan skandal kewangan yang terus menghabiskan sumber negara, kerajaan memilih untuk menghukum sektor kritikal seperti pendidikan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS