Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Sebanyak 13,272 kes rogol membabitkan kanak-kanak direkodkan antara 2010 hingga Mei lalu, kata Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Berdasarkan rekod polis, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, pada tempoh sama sebanyak 6,014 kes cabul dicatatkan, 1,796 kes sumbang mahram dan 1,152 kes seks luar tabii.

Katanya semua kes itu membabitkan individu berusia kurang daripada 18 tahun.

Bercakap di Dewan Rakyat, Rohani berkata, Johor mencatat kes rogol bawah umur tertinggi iaitu2,089 kes atau 15.7 peratus, manakala Selangor menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes cabul dan seks luar tabii, dengan masing-masing 1,052 kes dan 235 kes.

Bagi keganasan fizikal ke atas kanak-kanak, Rohani berkata sebanyak 2,244 kes dilaporkan.

Kementerin, kata Rohani, sudah mengambil langkah perlu termasuk meminda Akta Kanak-kanak dan memperkenalkan Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak bagi menangani jenayah terhadap kumpulan itu.

Katanya, kerajaan juga bercadang menubuhkan mahkamah khas bagi membicarakan jenayah seksual kanak-kanak di setiap negeri berbanding hanya ada satu - di Putrajaya - ketika ini.

Mahkamah khas itu, kata Rohani, akan memberikan rasa selamat kepada mangsa dan membantu mereka memberi keterangan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

"Mereka tidak akan rasa takut (sebab) kadang-kadang apabila mereka nampak perogol, nak bercakap pun mereka tak boleh.

"Sebab itu kita tubuhkan mahkamah khas, bagi mengekang rasa takut mereka," katanya.

Di mahkamah itu, mangsa diletakkan di kawasan berbeza daripada tertuduh dan hanya hakim yang mempunyai akses kepada mangsa.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS