Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang majikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas pertuduhan mengambil 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja di kilang sebuah syarikat memproses makanan sejuk beku.

Tertuduh, Leong Siew Seong, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mengikut pertuduhan, Leong yang juga pengarah Hup Soon Frozen Food Sdn Bhd, didakwa melakukan kesalahan itu di Kawasan Perindustrian Chandan Raya, Menglembu di Kinta setelah mengambil seramai 21 PATI yang tidak memiliki pas sah, bekerja di premis tersebut ketika serbuan pada 9.20 pagi, 1 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 55(3) Akta Imigresen 1959/63, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan tetapi tidak lebih daripada lima tahun atau boleh juga dikenakan sebatan.

Pendakwaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Perak mencadangkan supaya tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Fey Aqis Mohd Khairuddin dan Yee Siu Kai yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menyara isteri dan tiga anak kecil.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 5 Sept untuk sebutan semula.

Leong dibebaskan setelah membayar wang jaminan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS