Paling Popular
Terkini
story images
story images

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali adalah orang paling layak membantu Rafizi Ramli membayar ganti rugi dan kos berkaitan dengan saman fitnah National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata seperti yang diketahui umum Azmin baru-baru ini mengumumkan bantuan khas dua bulan gaji sempena Aidilfitri kepada penjawat awam Selangor.

Melalui bonus dua setengah bulan itu juga, katanya, menjadikan Azmin penerima terbesar apabila menerima bonus sebanyak RM73,125, berdasarkan gaji bulannnya sebanyak RM29,250.

Oleh itu, kata Zulkarnain, tidak perlulah Rafizi menyusahkan rakyat bagi memenuhi kehendaknya itu.

"Rafizi dan fitnah berpisah tiada, siapa tak kenal Rafizi, kan?

"Azmin - seperti yang diketahui umum - dia dapat elaun banyak, dua bulan bonus raya.

"Jadi, saya fikir Azminlah paling layak dan sesuai bantu Rafizi walaupun mereka berdua ini tak sependapat. Tak payahlah susahkan rakyat," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Zulkarnain hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyerahkan memorandum meminta maklumat terkini mengenai siasatan mereka ke atas kerajaan Selangor.

Timbalan kena bantu naib

Siasatan itu dibuat ekoran kenyataan Rafizi yang didakwanya melibatkan rasuah wang dan wanita.

Zulkarnain juga bertanya mengenai perkembangan mengenai dua projek bekalan air luar bandar bernilai RM53 juta di Sabah.

Kata Zulkarnain, Azmin juga orang paling sesuai memberikan bantuan kewangan kepada Rafizi kerana anggota parlimen Pandan itu ialah naib presiden PKR.

"Lagi pun (Azmin ialah) timbalan presiden, kena bantulah naib dia," katanya.

Zulkarnain berkata demikian mengulas kenyataan Rafizi yang memohon sumbangan orang ramai bagi mengelakkan dirinya diisytihar muflis berikutan kemungkinan tidak mampu membayar ganti rugi dan kos berkaitan dengan saman fitnah NFC.

Rafizi dalam satu posting di Facebook semalam berkata beberapa minggu lalu, peguamnya menerima surat tuntutan meminta RM300,000 yang perlu dibayar.

Jika tidak, kata Rafizi, prosiding kebankrapan terhadap dirinya akan dimulakan.

Saman itu difailkan selepas Rafizi mendakwa pengerusi NFC Datuk Seri Mohd Salleh Ismail membeli lapan hartanah di KL Eco-City dengan dana awam yang diperuntukkan kepada syarikat berkenaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu memutuskan Rafizi bersalah dan memerintahkannya membayar RM150,000 kepada Salleh dan RM50,000 kepada NFC. Mereka juga dianugerahkan kos sebanyak RM100,000.

Ada rizab terbesar

Mengulas memorandum hari ini Zulkarnain berkata SPRM perlu memberi perhatian ekoran dakwaan tersebut sangat membimbangkan pihaknya.

Zulkarnain berkata kerana tuduhan Rafizi terhadap kerajaan Selangor itu dianggap berasas kerana beliau adalah orang paling kanan dalam parti pembangkang berkenaan.

"Saya fikir dakwaan Rafizi ini tidak boleh dipandang ringan kerana sudah tentulah Rafizi mempunyai maklumat berkenaan amalan rasuah yang diamalkan oleh pimpinan kerajaan Selangor.

"Harus diingat Selangor mempunyai rizab kewanga yang terbesar di Malaysia dan sebab itu kita khuatir," kata Zulkarnain.

Mei tahun lalu Rafizi dilapor membuat dakwaan wujud rasuah wang dan wanita dalam kerajaan Selangor.

Dakwaan tersebut dibuat membuat melalui perbualan dalam aplikasi pesanan WhatsApp yang bocor.

Bagaimanapun, Biro Politik PKR sebelum ini mengarahkan Rafizi supaya membuat laporan dan mengemukakan bukti kepada SPRM.

Azmin Ali menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai kempen memburuk-burukkan kerajaan.

Kejadian berlaku dilihat pelbagai pihak sebagai petanda perpecahan dalam PKR.

Lihat Komen
ADS