Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Walau macam pendek, cakap tak fasih speaker ni ada jasa juga..'

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggesa wartawan - terutama yang bertugas untuk portal berita - memberikan liputan adil terhadap perjalanan parlimen.

Beliau juga berjenaka dengan berkata, mana-mana wartawan yang merendah-rendahkan Dewan Rakyat mungkin boleh dipenjara.

Dengan memetik laporan berita mengenai penolakan 30 soalan mengenai 1MDB, Malaysiakini adalah antara agensi berita yang tidak memuaskan hati Pandikar.

Beliau juga tidak berpuas hati dengan sepucuk surat terbuka mengenai tapisan soalan yang diterbitkan sebuah portal lain.

"Sama ada dia yang menulis (surat) ini tidak tahu apa-apa langsung atau mahu menggambarkan speaker parlimen seorang yang bodoh, atau dia yang bodoh.

"Jangan buat laporan sebelah pihak saja," katanya kepada media di parlimen hari ini.

Beliau kemudian menjelaskan satu kes di India membabitkan dua wartawan yang dihukum setahun penjara oleh sebuah dewan legislatif wilayah di negara itu.

"Maksudnya nanti kalau saya betul-betul nasty (marah), saya akan cari Datuk Seri Azalina (Othman Said), lepas itu sokong bawa usul (iaitu) siapa tulis menghina parlimen, kasi masuk jail satu tahun," katanya merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengelolakan hal ehwal parlimen.

Rahsia pakai bow

Bagaimanapun Pandikar menegaskan beliau tidak berniat untuk mengancam media, sebaliknya sekadar berkongsi maklumat.

"Saya tidak kata saya mengugut kamu. Saya cuma mengingatkan. Tapi kalau kamu mengasak saya begitu, saya boleh buat. Saya boleh jadi jahat," katanya sambil ketawa.

Pandikar kemudian berseloroh dengan berkata media patut menulis yang baik-baik mengenai beliau serta pencapai yang dilakukannya setakat ini.

Antara perubahan dilakukan beliau sebagai speaker ialah mewujudkan kamar khas dan memperuntukkan sesi khas untuk soalan menteri.

"Walaupun speaker ini macam pendek, cakap Melayu tak (berapa fasih), English dia lintang-pukang dia punya verbs, tapi dia ada jasa juga. Ini tidak, semua jahat," katanya dengan nada ceria.

Sidang media selama kira-kira sejam itu kebanyakannya diisi dengan perkongsian maklumat kepada wartawan mengenai arahan tetap mesyuarat dan mengapa beliau menolak soalan berkaitan 1MDB.

Sesi itu juga diwarnai dengan pelbagai jenaka, termasuk mengapa beliau memakai tali leher bow.

"Kalau saya pakai tali leher biasa, saya akan sama dengan anggota parlimen yang lain. Sebab itu saya pakai bow, sebab saya mahu berbeza daripada mereka," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS