Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1,066 penyu dilepas sempena hari jadi Raja Thai

GLOBAL Ratusan rakyat berkumpul di wilayah Sattahip, timur Thailand pada Rabu untuk menyaksikan acara pelepasan 1,066 penyu sebagai meraikan ulang tahun Raja Thailand, lapor agensi berita China Xinhua.

Raja Thailand Raja Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun menyambut ulang tahun baginda ke-65 esok.

Sambutan ulang tahun kelahiran baginda kali ini, adalah yang pertama diraikan sebagai cuti kebangsaan.

Acara pelepasan penyu itu diadakan di Pusat Pemuliharaan Penyu di daerah Chun Buri.

Menurut laporan media tempatan, pemilihan bilangan 1,066 mempunyai maksud tersendiri iaitu 10 merujuk kepada Raja Rama X dan nombor 66 dipilih dengan harapan usia Raja Thailand terus dilanjutkan.

Penganut Budha percaya dengan membebaskan haiwan boleh memberi kebaikan.

Sehari sebelum acara, Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha menyeru rakyat sentiasa melakukan perbuatan baik dan setia kepada raja.

Selain itu, Dewan Bandaraya Bangkok turut mengadakan acara pemberian sumbangan kepada 600 sami dan kuil di seluruh negara menjalankan upacara perayaan sempena ulang tahun Raja Thailand.

Raja Vajiralongkorn mewarisi takhta pada Disember, selepas Raja Bhumibol Adulyadej mangkat pada 13 Okt 2016.

- Bernama

Lihat Komen
ADS