Paling Popular
Terkini

Logo Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi penghalang sementara untuk gabungan empat parti pembangkang didaftarkan, kata penasihatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata bekas perdana menteri itu, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memberi sedikit teguran berkenaan logo dan simbol HARAPAN.

Katanya, ROS berpendapat logo yang dicadangkan HARAPAN tidak sesuai kerana tidak menampakkan nama penuh pakatan berkenaan.

"Dia (ROS) nak supaya kita sebut kedua-dua perkataan iaitu Pakatan Harapan. Yang ada ini (perkataan) HARAPAN saja," kata Dr Mahathir di Putrajaya.

Terdahulu barisan kepimpinan tertinggi HARAPAN dan penyokong mereka mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan secara rasmi gabungan itu di Ibu Pejabat ROS di Putrajaya.

HARAPAN dianggotai PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Antara yang menyertai Dr Mahathir ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah (PKR), Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Mahathir ialah pengerusi HARAPAN.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata gabungan itu akan kembali semula ke ROS dalam tempoh dua hari lagi untuk menyerahkan cadangan baru logo mereka.

Tak ada bantahan ROS

"Jadi, kita akan ambil ingatan dan kita akan buat logo dan simbol baru dan kita akan kemukakan semula permohonan pendaftaran ke mereka.

"Mereka ada beri sedikit panduan pada kita dan kita sudah ambil kira," katanya.

Ditanya tempoh dua hari yang diperlukan untuk menyiapkan logo itu agak singkat berbanding jangka masa lebih lama untuk menghasilkan logo sebelum ini, Dr Mahathir menjelaskan, mereka dapat melakukannya kerana ideanya sudah ada.

"ROS ada bagi garis panduan, kena ada kedua-dua perkataan iaitu Pakatan Harapan.

"Kalau nak tambah lain bagi elok, boleh dibuat, tapi perkataan itu kena ada," katanya.

Sementara itu mengulas tindakan mereka tidak menyenaraikan nama pimpinan HARAPAN semasa membuat permohonan tadi, Dr Mahathir berkata ia tidak mendapat bantahan daripada ROS.

"(Ruang untuk senarai) jawatan ada, tapi tak perlu diisi.

“Tak ada bantahan daripada ROS, dan kita harap ROS akan luluskan,” katanya.

Lihat Komen
ADS