Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM serbu dua lagi pejabat berkaitan hotel Felda
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 11:38 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyerbu dua lagi pejabat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dalam pembelian hotel empat bintang di Kuching, Sarawak.

Dua pejabat itu adalah sebuah pejabat perakaunan di Taman Tun Dr Ismail, dan sebuah pejabat peguam di Damansara, Selangor.

Semalam, badan pencegahan rasuah itu berkata hotel bertaraf empat bintang yang terletak di Kuching, Sarawak berkenaan dipercayai dibeli pada harga yang lebih tinggi daripada harga asal.

Menurut sumber SPRM, siasatan berhubung pembelian hotel tersebut dibuat susulan siasatan berkaitan pembelian hotel oleh FIC di kota London antara tahun 2013 dan 2015.

Dalam perkembangan berkaitan, portal Utusan Malaysia melaporkan pasukan penyiasat SPRM hadir ke tiga buah syarikat di Kuching, Sarawak bagi mendapatkan maklumat dan dokumen berkaitan pembelian hotel di London itu.

Menurut portal itu, tiga pegawai SPRM mengunjungi ketiga-tiga syarikat pemaju dan perundingan tersebut pada pukul 10 pagi tadi.

Utusan juga memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan pasukan penyiasat telah pergi ke tiga syarikat itu bagi mendapatkan maklumat dan dokumen berkaitan pembelian sebuah hotel.

Akhbar melaporkan pasukan penyiasat SPRM sedang menilai maklumat-maklumat yang diterima berhubung pembelian hotel itu yang dipercayai dibeli FIC dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Hasil maklumat awal menunjukkan pembelian hotel berkenaan telah mengakibatkan FIC kerugian ratusan jutaan ringgit.

Lihat Komen
ADS