Paling Popular
Terkini

ULASAN | Sempena sambutan Hari Peneroka Felda peringkat kebangsaan pada 23 Julai 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan pemberian pelbagai insentif kepada peneroka Felda berjumlah RM1.588 billion. 

Ini termasuk insentif khas untuk warga Felda yang melibatkan peruntukan sebanyak RM475 juta, pelupusan sebahagian baki pinjaman pembelian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) berjumlah RM128 juta, pelupusan hutang penanaman semula sebanyak RM519 juta, pewujudan dana khas pelupusan lebihan hutang penanaman semula berjumlah RM300 juta dan geran khas penanaman sebanyak RM166 juta.

Warga Felda sememangnya memerlukan penyelesaian terhadap permasalahan yang mereka hadapi. Bebanan hutang penanaman semula, tanggungan hutang pinjaman pembelian saham FGV yang merugikan peneroka, kelewatan pembayaran hasil kutipan buah sawit dan pendapatan yang merosot adalah antara permasalahan yang dihadapi oleh warga Felda.

Insentif yang diterima oleh warga Felda ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung.

Insentif bukan penyelesaian

Namun, warga Felda memerlukan satu penyelesaian yang menyeluruh terhadap permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

Pemberian insentif yang bersifat ‘one-off’ sebelum menjelang pilihan raya umum bukanlah penyelesaian yang sebenar.

Insentif yang diterima boleh meringankan beban mereka buat sementara waktu.

Namun, dengan masalah kelewatan bayaran hasil sawit masih berterusan dan pendapatan bulanan masih merosot, peneroka akan kembali terbeban dengan pelbagai masalah.

Penyelesaian menyeluruh hanya boleh dibuat sekiranya Felda berjaya dipulihkan.

Kita tahu bahawa Felda menanggung kerugian akibat ketiadaan tadbir urus yang baik yang menyebabkan keputusan-keputusan pelaburan yang dibuat merugikan Felda.

Penyenaraian FGV di Bursa Malaysia yang dikatakan akan memberikan keuntungan kepada Felda, akhirnya menyebabkan Felda menanggung kerugian tidak nyata sebanyak RM1.2 bilion akibat nilai pegangan sahamnya di dalam FGV yang merudum.

Ini tidak termasuk pelbagai bentuk penyelewengan yang berlaku di dalam Felda menerusi transaksi yang tidak munasabah termasuk pembelian hartanah di luar negara yang melebihi harga pasaran.

Jelas ada pihak yang mengaut keuntungan sedangkan peneroka Felda menanggung beban.

Perlu penyelesaian menyeluruh

Selagimana Felda tidak berjaya dipulihkan menerusi peningkatan pengeluaran dan keuntungan, maka segala insentif yang diterima oleh peneroka Felda hanyalah bersifat sementara.

Penyelesaian menyeluruh hanya akan boleh dicapai jika Felda kembali mencatat keuntungan dan mampu memberikan pulangan hasil yang lumayan kepada para peneroka.

Malangnya, ketika sambutan Hari Peneroka iaitu satu hari yang penting kepada peneroka Felda, Najib tidak mengumumkan sebarang rancangan untuk memulihkan Felda yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada para peneroka.

Yang diumumkan hanyalah gula-gula pilihan raya untuk meraih sokongan pengundi Felda yang semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan kleptokrat Najib Razak.

Pengumuman pada 27 Julai 2017 adalah sama dengan apa yang berlaku lima tahun lalu.

Setahun sebelum pilihan raya umum ke-13, Najib mengumumkan ‘durian runtuh’ berjumlah RM1.7 bilion untuk peneroka Felda di seluruh negara.

Saya tidak nafikan pengumuman tersebut menggembirakan peneroka Felda. Tetapi oleh kerana insentif yang diumumkan itu hanyalah bersifat gula-gula pilihan raya, bukannya satu bentuk penyelesaian menyeluruh permasalahan peneroka, para peneroka Felda kembali dibelenggu dengan pelbagai masalah selepas itu.

Kerana itulah Pakatan Harapan menawarkan pemulihan Felda secara menyeluruh sebagai satu kaedah untuk menyelesaikan permasalahan peneroka dan mengembalikan Felda sebagai sebuah entiti yang menjana keuntungan dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Mana dapat wang? Mana pelan pemulihan Felda?

Oleh kerana insentif berjumlah RM1.588 bilion yang diumumkan oleh Najib kemungkinan besarnya bukanlah bersumberkan keuntungan yang diperolehi oleh Felda, maka saya ingin bertanya kepada Najib dari sumber manakah wang sebanyak itu diperolehi?

RM1.588 bilion bukan satu nilai yang kecil. Ia merupakan 3.5 peratus daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan kerajaan sebanyak RM46 billion atau 5.0 peratus daripada peruntukan perkhidmatan dan bekalan kerajaan sebanyak RM32 billion yang diumum di dalam Bajet 2017.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Najib untuk memberitahu rakyat dari manakah datangnya wang berjumlah RM1.588 billion itu?

Saya juga ingin bertanya kepada Najib, mana pelan pemulihan Felda yang akan menyelamatkan Felda dan menguntungkan peneroka?

Silalah jawab.


Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), anggota parlimen Pagoh dan bekas timbalan perdana menteri.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS