Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan tangguh daftar haji
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 1:54 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menggunakan mimbar Jumaat untuk mendoakan umat Islam terpilih yang akan menunaikan haji supaya amalan itu diterima Allah serta dipermudahkan segala urusan mereka.

Malah, mimbar turut mengingatkan bakal haji agar terus istiqamah melakukan amalan baik - seperti semasa mereka berada di Tanah Suci - apabila kembali tanah air nanti.

Antara amalan yang dinasihatkan supaya terus dilakukan ialah memperbanyakan membaca al-Quran, mengimarahkan masjid serta menunjukkan akhlak mulia.

Selain itu, mimbar turut menasihatkan orang ramai yang belum mendaftar untuk menunaikan haji agar mendaftar segera.

"Adalah diharapkan mereka yang belum mendaftar untuk menunaikan haji hendaklah segera mendaftar dan jangan menangguhkannya, banyakkan bersabar, dan berdoa mudah-mudahan dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan dan cepat mendapat giliran untuk menunaikannya," kata mimbar.

Teks khutbah itu turut memberitahu bahawa umat Islam wajib melaksanakan ibadah haji bagi yang mampu dan cukup syarat bagi menjunjung perintah Allah.

Kata mimbar lagi, umat Islam yang menunaikan ibadah haji hendaklah memurnikan niat semata-mata kerana Allah dan bukan ke Tanah Suci untuk melancong dan berhibur.

"Umat Islam hendaklah mengingati bahawa mereka yang mampu dan cukup syarat tetapi tidak berniat untuk menunaikan haji maka matinya dalam keadaan jahiliah.

"Umat Islam hendaklah mengambil iktibar dari hikmah ibadah haji iaitu mendidik diri agar sentiasa memelihara iman, lidah dan perbuatan supaya tidak terjerumus kearah melakukan perkara sia- sia dan maksiat, seterusnya menjadi individu muslim yang terbaik, memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat," kata mimbar lagi.

Jemaah haji Malaysia kini secara beransur-ansur dilepaskan ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.

Pada musim haji tahun ini, sejumlah 112 penerbangan disediakan untuk membawa 30,200 jemaah haji ke Tanah Suci menerusi penerbangan Malaysia Airlines dan FLYNAS, dengan penerbangan terakhir dijadual 26 Ogos ini.

Lihat Komen
ADS