Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harta keluarga buat PM Pakistan disingkir mahkamah
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 5:01 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

GLOBAL | Mahkamah Pakistan hari ini melucutkan kelayakan Nawaz Sharif sebagai perdana menteri negara itu.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Agung Pakistan ekoran siasatan mengenai kekayaan keluarga Nawaz oleh pihak berkuasa negara itu.

Hakim Ejaz Afzal Khan berkata, Nawaz tidak lagi layak untuk bersikap jujur sebagai anggota parlimen, apa lagi memegang jawatan perdana menteri.

Dalam keputusan mengejutkan itu, mahkamah turut menggugurkan Menteri Kewangan Ishaq Dar yang memang dikenali ramai sebagai ahli politik yang rapat dengan Nawaz.

Reuters melaporkan keputusan sebulat suara menyingkirkan Nawaz dibuat selepas keluarga perdana menteri berusia 67 tahun itu gagal menjelaskan kekayaan mereka yang ketara ketika ini.

Perkembangan itu juga mendorong mahkamah mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan jenayah ke atas Nawaz.

Parti yang menguasai kerusi majoriti di parlimen ketika ini, Liga Muslim Pakistan - Nawaz, dijangka akan menamakan tokoh bagi sebagai perdana menteri untuk sementara sehingga negara itu mengadakan pilihan raya tahun depan.

Sementara itu kenyataan pejabat perdana menteri menyebut Nawaz sudah meletakkan jawatannya hari ini, beberapa jam selepas penghakiman dibaca Ejaz Afzal.

Kata kenyataan itu peletakan jawatan berkenaan dibuat walaupun Nawaz mempunyai kesangsian serius terhadap proses perundangan itu.

Ada harta mewah di London

Nawaz juga menafikan dia terbabit dalam sebarang salah laku, malah menegaskan, siasatan ke atasnya dijalankan secara berpihak dan tidak tepat.

Sekutu Nawaz pula bertegas mendakwa, proses perundangan yang dijalankan terhadap ahli politik kelahiran Lahore itu adalah satu pakatan untuk menggulingkannya.

Menteri Kereta Api Pakistan, Khawaja Saad Rafiq, pula berpendapat tindakan yang dilakukan ke atas Nawaz berpunca daripada balas dendam.

"Dalam usaha menyingkirkan kami, sistem demokrasi dijadikan sasaran," katanya.

Nawaz bukanlah orang baru dalam politik atau jawatan perdana menteri.

Dia dilantik menduduki jawatan itu untik kali ketiga selepas memenangi pilihan raya umum pada 2013.

Dua daripada tempoh mandatnya sebelum ini turut dipendekkan dengan salah satunya disebabkan oleh rampasan kuasa pasukan tentera.

Portal berita Independent menyatakan Ishaq - seorang bekas akauntan - sebelum ini menyerahkan dokumen bagi menjelaskan sumber kekayaan keluarga Nawaz kepada mahkamah.

Satu daripada sumber harta Nawaz, kata dokumen itu, ialah sebuah hartanah mewah di London.

Ishaq juga seorang menteri berpengaruh dalam kabinet Nawaz, dan dikenang sebagai tokoh yang berjaya menyelamatkan ekonomi Pakistan daripada krisis kewangan pada 2013.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS