Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melafazkan ikrar untuk taat setia kepada perdana menteri di depan ratusan ulama, termasuk dari luar negara.

Kata-kata itu pula dilafaz Ahmad Zahid secara spontan selepas seorang peserta persidangan ulama tiba-tiba bangkit dan berkata: "Thank you prime minister!"

Ulama dari luar negara itu menyampaikan secara langsung penghargaannya ekoran pengumuman Ahmad Zahid mengenai peruntukan AS$1 juta diberi penderma untuk Pusat Sufi Sedunia yang akan dibina di Kuala Lumpur.

Zahid kemudian secara bersahaja menjelaskan, beliau belum lagi menjadi perdana menteri, sebaliknya baru timbalan.

"Saya belum lagi jadi perdana menteri, saya timbalannya.

"Saya hanya pembantu Najib tetapi saya sangat setia kepada beliau dan saya akan pasti ia akan berterusan begitu, insya-Allah," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menyampaikan ucapan perasmian penutup Persidangan Ulama Antarabangsa dan Majlis Zikir Perdana Sedunia 2017 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Mendengar penjelasan Ahmad Zahid, ulama terbabit kemudian sekali lagi menyatakan terima kasih kepada beliau.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya turut menyeru umat Islam di negara ini bersama-sama memartabatkan Islam walaupun berbeza pegangan.

"Biar pun berlainan mazhab, kita berpandu kepada Allah yang satu dan kitab-Nya.

"Tujuan kita ialah keamanan sejagat dan bukannya sengketa sesama kita," katanya.

Sama ada bersefahaman Sunni atau Syiah, kata Ahmad Zahid, umat Islam mesti bekerjasama bagi mengelak agama diperlekehkan pihak lain.

"Dan kita sama-sama bertanggungjawab memelihara ukhwah sesama kita dan juga dengan orang lain," kata Ahmad Zahid.

Lihat Komen
ADS