Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penarik beca menabung RM6 sehari akan ke Makkah
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 10:24 PM
Dikemaskini: 2:26 PM

GLOBAL | Sikit-sikit lama-lama jadi haji.

Seorang penarik beca gigih menyimpan sebahagian daripada pendapatannya setiap hari dengan niat yang satu - mahu menjejakkan kaki ke tanah suci.

Dikenali dengan panggilan Mbah Soman, penarik beca itu dilaporkan menabung Rp20,000 (RM6.45) secara berterusan sehinggalah wangnya mencukupi.

Seperti dilaporkan Tribunnews, Mbah Soman, 79, adalah penarik beca sepenuh masa yang berdisiplin menabung.

"Saya tak ingat berapa lama menabung, tapi yang pasti ia memang sudah sangat lama," katanya.

Wang itu kata Mbah Soman, dikumpulkan sehingga Rp500,000 (RM160.65) sebelum dimasukkan ke tabung.

Kemudian apabila wang itu berjumlah Rp20 juta (RM6,425) Mbah Soman membuka akaun di agensi yang mengendalikan perkhidmatan haji di Indonesia.

Lelaki warga emas berasal dari Bangkalan di Madura itu berkata, dia didorong oleh pengajian yang diperolehinya semasa di sebuah pesantren di sana suatu ketika dulu.

Tak beli pakaian baru

"Saya teringat sebuah hadis yang sempat diajari guru saya.

"Kata beliau, rukun iman itu ada enam. Pertama, percaya kepada Allah.

"Justeru saya percaya kepada jika Dia menghendaki, semua boleh terjadi. Lalu saya berusaha, menabung dan berdoa," katanya yang mula menarik beca sejak 21 tahun lalu.

Selain itu Mbah Soman juga selalu berdoa diberikan rezeki halal setiap kali beribadah.

Sebaik saja dimaklumkan namanya terpilih untuk ke Makkah, Mbah Soman mengucapkan berbanyak syukur dan semakin bersemangat mencari rezeki.

Sementara itu seorang jiran mengaku Mbah Soman memang seorang yang rajin beribadah, gemar menolong orang lain dan sering dipilih menjadi imam di surat mereka di Kampung Kapasan.

Ditanya apakah persediaan dilakukannya, Mbah Soman menjawab ringkas: tiada. Dia bercadang menggunakan apa saja pakaian yang ada berbanding memberi kelengkapan baru seperti kebanyakan bakal haji lain.

"Sampai di Makkah nanti saya ada doa khusus mahu dipanjatkan, iaitu mengharapkan saya dan keluarga selamat dunia akhirat. Ia memadai begitu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS