Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Grab perkenal inisiatif baru keselamatan
Diterbitkan:  Jul 29, 2017 6:48 AM
Dikemaskini: 11:21 PM

Syarikat perkhidmatan teksi e-hailing (e-panggilan), Grab Malaysia, memperkenalkan tiga inisiatif baharu untuk meningkatkan keselamatan penumpang, pemandu dan keselamatan jalan raya secara keseluruhan.

Ketua Grab Malaysia , Sean Goh berkata inisiatif baharu itu ialah Butang Kecemasan, Eagle-i Car Video Recorder (CVR)
Dash Cam dan Program Telematik.

Untuk Butang Kecemasan, Grab memperkenalkan butang kecemasan sekali sentuhan dalam aplikasi mudah alih penumpang yang menghubungkan penumpang ke perkhidmatan panggilan kecemasan kebangsaan  (MERS999) jika
berlaku kecemasan.

"Grab akan log semua panggilan keluar melalui butang kecemasan untuk susulan oleh penumpang dan pihak berkuasa,
ini adalah komitmen syarikat untuk melabur sumber bagi membangunkan aplikasi untuk berfungsi sebagai butang
kecemasan pintar, komprehensif dan efisien," kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Mengenai Eagle-i CVR Dash Cam, pada 2015, Grab melaksanakan progam  perintis untuk menyediakan 100
pemandu wanita berprestasi tinggi di Lembah Klang dengan memasang dash cam dalam kereta.

Grab kini bekerjasama dengan Eagle-i, Rakan Kamera Keselamatan rasmi Grab untuk menyediakan Eagle-i CVR dash cam secara percuma kepada 3,500 pemandu wanita berprestasi tinggi dan pemandu platinum (pemandu yang mencapai sasaran perjalanan tertentu dan mengekalkan rating tinggi) di seluruh negara, kata Goh.

Selain itu, Program Telematik adalah gabungan pembelajaran mesin dan analitik ramalan yang mengenal pasti tabiat memandu yang tidak selamat seperti memandu laju, membelok dengan tiba-tiba dan menekan brek atau memecut bertujuan untuk mendidik pemandu mengenai cara-cara untuk memperbaiki prestasi memandu.

"Pemandu akan menerima ringkasan prestasi pemanduan mingguan mereka sebagai rujukan dan penambahbaikan
selanjutnya dan program ini yang dilancarkan pada Jun di Singapura telahpun mendapat hasil yang sangat menggalakkan
untuk membantu meningkatkan keselamatan jalan raya," kata Goh.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah
berkata suruhanjaya itu gembira bahawa Grab telah memberi respon kepada permintaan untuk memperkenalkan butang kecemasan dalam aplikasi mereka.

Beliau berkata SPAD ajuga menghargai pemikiran untuk masa depan dengan melaksanakan inisistif baharu seperti kamera dalaman dalaman kereta untuk keselamatan dan keselesaan untuk penumpang dan pemandu mereka dan berharap dengan memperkenalkan butang kecemasan MERS999, penumpang akan menggunakan fungsi itu secara bertanggungjawab dan program telematik boleh meningkatkan keselamatan jalan raya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS