Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad yang sepatutnya menjadi tarikan utama ceramah gabungan pembangkang itu tidak muncul seperti yang dijadualkan sekurang-kurangnya dua kali setakat ini.

Bekas perdana menteri itu sepatutnya berceramah di Kluang, Johor malam ini namun beliau digantikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menjelaskan keadaan itu Anggota Parlimen Kluang dari DAP, Liew Chin Tong, berkata kesihatan Dr Mahathir tidak mengizinkan kerana mengalami selesema sejak seminggu lalu.

"Jadi adalah lebih baik beliau tidak datang ke sini.

"Dr Mahathir juga tidak hadir di ceramah HARAPAN di Temerloh malam semalam," katanya kepada Malaysiakini.

Jika perlu hadir, dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan itu Dr Mahathir terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dari rumahnya di Seri Kembangan, Selangor.

Penganjur makan malam itu, DAP Kluang, menjual tiket RM70 seorang untuk membolehkan orang ramai menikmati hidangan sambil mendengar ceramah.

Seorang daripada penceramah yang memberikan ucapan malam ini ialah Hew Kuan Yau. Jika Dr Mahathir hadir, kedua-dua tokoh yang dianggal "ultra" bagi kaum masing-masing akan berkongsi pentas yang sama.

Sementara itu pengumuman dibuat Anggota Dewan Undangan Negeri Mengkibol Tan Hong Ping di atas pentas kelihatan mengecewakan orang ramai.

Sementara itu kehadiran Lim Kit Siang juga menarik perhatian ramai. Bukan kerana kelibatnya jarang-jarang dilihat sebaliknya disebabkan tampalan pada dahinya.

Menurut ketua anggota parlimen DAP itu, beliau terjatuh di rumahnya Khamis lalu.

Namun di sebalik kecederaan pada kepalanya, ahli politik berusia 76 tahun itu kekal bersemangat ketika melayan permintaan orang ramai yang mahu mendapatkan tandatangannya.

Malam semalam, Dr Mahathir dijadual berucap di majlis ceramah HARAPAN di Temerloh - kawasan parlimen yang kini diwakili Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.

Bagaimanapun untuk program di sekitar Lembah Kelang nampaknya Dr Mahathir masih hadir.

Pagi semalam pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) itu menyertai pemimpin HARAPAN menyerahkan permohonan untuk mendaftarkan gabungan terbabit di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya.

Kemudian beliau menyertai perhimpunan di luar Masjid Negara untuk menyatakan bantahan terhadap larangan dikenakan Israel di Majid al-Aqsa.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS