Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia kutuk pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara

Malaysia mengutuk pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) oleh Korea Utara pada Jumaat, pelancaran ICBM yang kedua dalam masa sebulan.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata keingkaran Korea Utara untuk tidak menghentikan program nuklear peluru berpandu balistik menimbulkan ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Ia berkata tindakan itu terang-terang melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) yang berkaitan dan obligasi Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).

“Justeru, Malaysia menggesa Korea Utara supaya menghentikan semua tindakan provokatif dan mematuhi resolusi UNSC yang berkaitan demi kepentingan keamanan serantau dan global serta keselamatan,” kata kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata Malaysia juga menggesa Korea Utara dan semua pihak berkaitan supaya bertenang dan menyambung dialog untuk meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian yang aman terhadap situasi di Semenanjung Korea.

-Bernama

Lihat Komen
ADS