Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangunan semula Kg Baru dengan roh Melayu, Islam

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pembangunan semula Kampung Baru di ibu negara seiring dengan pembangunan pesat negara.

Bagaimanapun, katanya, pembangunan kampung yang wujud selama 113 tahun itu tidak harus mengetepikan roh Islam dan Melayu.

Zahid berkata, pembangunan semula itu harus menyeimbangkan antara elemen baharu dan lama, dunia dan akhirat bagi memastikan kawasan itu terus mencerminkan identiti Kuala Lumpur.

"Keseimbangan adalah perlu supaya kita tidak terus berada dalam kepompong jumud yang tidak mahu mengakui perubahan,” katanya ketika merasmikan Residensi RAH di Kampung Baru hari ini.

“Perubahan adalah gelombang yang harus dihadapi oleh semua pihak termasuk pemilik tanah di Kampung Baru ketika kerajaan mengambil tindakan proaktif menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) pada 2012 hingga merealisasikan pembangunan tanpa mengetepikan nilai Islam dan Melayu.”

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi RAH Properties Datuk Abd Rahim Ibrahim.

Projek pembangunan moden di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur yang merangkumi 187 unit kondominium mewah 39 tingkat itu dibangunkan RAH Properties Corporation Sdn Bhd dengan nilai pembangunan kasar RM182 juta.

Projek yang bermula Mei tahun lalu itu dijangka siap Mei 2019 membabitkan keluasan 3,310 meter persegi dengan kos pembangunan sebanyak RM145 juta termasuk kos pengambilan tanah RM25 juta.

Zahid berharap semua pihak akan memberikan sokongan kepada pemaju pembangunan supaya Kampung Baru setaraf dan selari dengan pembangunan di sekelilingnya.

Lihat Komen
ADS