Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC tidak akan siasat semula 1MDB, kata pengerusi

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak akan membuka semula siasatan terhadap skandal 1MDB, kata pengerusinya, Datuk Hasan Arifin.

Menurutnya, siasatan mengenai 1MDB sudah dibentangkan di Dewan Rakyat dan terpulang kepada kerajaan persekutuan untuk mengambil tindakan.

"1MDB sudah dibentangkan di Parlimen, terpulang kepada kerajaan persekutuan untuk ambil sebarang tindakan. PAC tidak akan buka lagi siasatan," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Hasan berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan saman sivil terbaru Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat terhadap 1MDB.

Hasan turut menyatakan siasatan yang dilakukan PAC sebelum ini terhadap 1MDB adalah berbeza dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan saman sivil yang difailkan oleh DOJ

"Ia (siasatan PAC terhadap 1MDB) tiada kaitan dengan DOJ. Siasatan berasaskan protokol dari dua negara berkenaan dan seharusnya ia dipertimbangkan," katanya.

Laporan PAC yang dibentang dalam Parlimen sebelum ini menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung isu 1MDB.

Ia kerana, PAC mendapati Najib tidak terlibat secara langsung dalam isu membabitkan syarikat milik Kementerian Kewangan itu.

Laporan PAC setebal 106 muka surat itu sebaliknya mengesyorkan pihak berkuasa menyiasat bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak berkaitan.

DOJ dalam saman sivil terbaru pada bulan Jun lalu berkata, bahawa rakyat Malaysia telah ditipu pada skala besar-besaran dalam isu 1MDB.

DOJ kini meletakkan angka yang didakwa diselewengkan pada AS$4.5 bilion dan sedang berusaha untuk merampas AS$1.7 bilion aset yang kononnya diperolehi melalui dana yang dicuri daripada 1MDB.

Antara senarai barangan yang cuba disita itu adalah sebuah kapal layar, barangan kemas termasuk berlian dan karya seni.

Dalam pemfailan DOJ sejak tahun lalu, nama Najib tidak disebut secara langsung, tetapi pihak penyiasat AS merujuk kepada seorang individu sebagai "Malaysian Official 1" yang dikatakan mempunyai pertalian dengan Riza Aziz iaitu anak tirinya.

Namun, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tahun lalu mengesahkan bahawa MO1 adalah sememangnya adalah Najib.

Najib berulang kali menafikan dirinya menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan mendakwa pertuduhan itu dibuat oleh mereka yang mahu menggulingkannya.

Lihat Komen
ADS