Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ramai di ceramah BERSATU cuma nak dengar celoteh Dr M'
Diterbitkan:  Jul 31, 2017 2:50 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Kehadiran orang ramai pada ceramah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mencerminkan sokongan terhadap parti serpihan Umno itu, kata ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee.

"Kita tidak boleh sukat dengan mengira jumlah kehadiran. Betul, mungkin ramai yang hadir, tetapi barangkali kehadiran itu sekadar mahu mendengar apakah lagi isu atau hujah baru pembangkang untuk memburukkan imej Umno.

"Berdasarkan maklumat, kehadiran orang ramai hanya mahu mendengar celoteh pemimpin BERSATU termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan mencalarkan kepimpinan (Datuk Seri) Najib (Razak) selaku presiden Umno," tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Syed Ali, BERSATU tidak akan memberi ancaman besar kepada Umno pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Ini kerana katanya, orang Melayu tidak mempunyai banyak pilihan untuk memilih parti yang benar-benar berwibawa dan mempunyai rekod cemerlang dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Dalam keadaan tiada pilihan itu, orang Melayu pasti akan terus mengekalkan sokongan mereka kepada Umno sepertimana berlaku pada PRU ke-13, biarpun keputusan pada ketika itu agak mengecewakan," tegasnya.

Syed Ali menjelaskan, orang Melayu tidak mudah untuk memberi keyakinan kepada BERSATU yang bersekongkol dengan "parti perkauman" seperti DAP.

Beliau juga tidak melihat penonjolan keterlaluan imej Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi impak besar kepada kekuatan Umno dan Barisan Nasional.

Sehubungan itu katanya, ketika sokongan orang Melayu semakin meningkat terhadap Umno, pemimpinnya perlu lebih pro-aktif untuk mendekati rakyat.

"Jangan ketika tarikh PRU diumumkan, baru kita (pemimpin Umno) hendak turun padang, perbuatan sedemikian hanya mengundang kebencian pengundi," tegasnya.

Lihat Komen
ADS