Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar mulakan lawak keturunan Dr M'
Diterbitkan:  Jul 31, 2017 3:59 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Menghangatkan lagi perbahasan mengenai susur galur keturunan Tun Dr Mahathir Mohamad, sebuah portal pro-Umno mendakwa bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang mula-mula sekali mendedahkan bekas perdana menteri itu berasal dari Kerala, India.

Mykmu.net juga memuat-naikkan sebuah video yang memaparkan Anwar mempersendakan keturunan bekas bosnya pada sebuah ceramah.

“Ia adalah Anwar yang mula mula sekali dedah asal usul keturunan Mahathir selepas pemecatannya dari jawatan timbalan perdana menteri tahun 1998 – buktinya ada pada video di bawah.

“Sebelum itu, cerita Mahathir asal Kerala dan berketurunan Kutty ini ibarat rahsia umum dalam Malaysia, tambah pula Mahathir malu nak mengakuinya.

“Sejak didedahkan Anwar, asal usul Mahathir jadi bahan ketawa dan jenaka politik di kalangan penyokong pembangkang/Pakatan - ironinya, puak sama yang mengutuk kenyataan (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi) hari ini,” katanya.

Menjelang akhir klip video sepanjang 18.52 minit, Anwar memberitahu hadirin bagaimana Mahathir sendiri pernah mempertikaikan pemberian kewarganegaraan kepada bukan Melayu.

"Betapa bodohnya, cuba tanya Mahathir, dia dari mana?" soal Anwar sambil disahut oleh orang ramai yang menjawab, "India, Kerala".

Portal itu mengulas ucapan Zahid, semalam yang mengundang bidasan kerana mengungkit sejarah Mahathir yang berketurunan India.

Zahid, yang juga menteri dalam negeri, menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

Sambil memegang telefon bimbit dan menunjukkannya kepada hadirin, Zahid berkata, "Ini IC biru dia dulu. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Nombor IC biru dia […] Ini yang dihantar oleh ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)."

"Betullah dia kata kita ni mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,"

Mengulas lanjut, Mykmu berkata, ia tidak faham dengan apa yang heboh sangat dengan pendedahan Zahid kerana ia bukan sesuatu yang baru.

“Benda baru ka yang didedahkan tu? Bukan semua orang dah tahu dah ka? Datuk Seri Zahid hanya mengesahkannya saja dengan fakta.

“Paling kelakar tu bila ada kata pendedahan itu sebagai menghina, menghina tang mana pula?

“Mahathir yang malu nak mengaku asal usulnya itu patut dikatakan menghina, Zahid pulak yang kena kenapa?’ soalnya.

Portal itu berkata tiada siapa yang mempertikaikan isu itu ketika Anwar menggunakannya sebagai bahan lawak kempen pada siri ceramahnya.

“Kalau nak marah, marah Anwar lah, marah Zahid buat apa?”

Lihat Komen
ADS