Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kereta pertama Proton-Geely akan keluar 2018
Diterbitkan:  Jul 31, 2017 4:16 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Kereta Proton pertama susulan kerjasama pengeluar kereta nasional itu dengan Geely akan memasuki pasaran pada akhir 2018 atau awal 2019, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata pada masa ini, Proton dan Geely menumpukan kepada penubuhan kilang di Tanjung Malim, Perak, yang dijangka menjadi kilang automotif yang utama dan perintis di negara ini untuk melaksanakan teknologi pembuatan baharu di bawah Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Geely akan membantu Proton dari segi teknologi dan pada masa sama memasang model pacuan empat rodanya, kereta pintar dan membangunkan teknologi pemanduan sebelah kanan (RHD) di Malaysia,” katanya selepas ‘Engagement Session’ di Universiti Putra Malaysia di Serdang hari ini.

Mengulas lanjut, Ong berkata pengenalan model baharu itu akan mengambil masa kurang daripada lima tahun, tempoh masa untuk menyiapkan kilang di Tanjung Malim.

Di bawah perjanjian antara syarikat induk Proton Holdings Bhd, DRB-Hicom Bhd dan pengeluar kereta dari China, Zhejiang Geely Holding Group, Proton diberi lesen untuk mengeluarkan, menjual, memasarkan dan mengedar kenderaan platform Geely yang dikenal pasti di bawah jenama “Proton” di Malaysia untuk tempoh lima tahun.

Ini juga akan membuka pintu kepada Geely untuk memasuki pasaran Asia Tenggara.

Perjanjian tersebut merupakan situasi menang-menang bagi kedua-dua syarikat berikutan Proton mendapat hak untuk mengeluarkan dan mengedar kenderaan utiliti sukan (SUV) Boyue Geely, yang akan memacu jumlah jualan Proton terutamanya dalam segmen SUV.

Proton-Geely menyasarkan untuk mengeluarkan 280,000 kereta bagi pasaran China-Asia Tenggara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS