Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

DAP hari ini memohon usul tergempar supaya kerajaan memberikan jawapan berkenaan tindakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membocorkan data peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Usul itu dipohon oleh Anggota Parlimen Kulai (DAP) Teo Nie Ching dan jawapan dari speaker Pandikar Amin Mulia dijangka dalam tempoh 24 jam.

“Saya telah mengemukakan usul tergempar kepada speaker mengenai tindakan Zahid yang mendedahkan kad pengenalan Tun Mahathir secara terbuka kepada orang awam.

“Ya, dia (Zahid) menteri dalam negeri, tetapi dia tidak ada hak untuk mendedahkan maklumat data peribadi yang terdapat dalam kad pengenalan sama ada maklumat itu tepat atau tidak ia bukan isu.

Saya fikir sebagai menteri dia (perlu) menghormati terhadap tindakan melindungi data peribadi,” katanya dalam sidang media di parlimen hari ini.

Semalam Zahid mengungkit sejarah Dr Mahathir yang berketurunan India dan mendakwa bekas perdana menteri itu mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun pentadbirannya.

Naib Presiden Umno itu turut menunjukkan salinan kad pengenalan (IC) Mahathir, yang memaparkan namanya sebagai "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

Bagaimanapun hari ini, anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz tampil menjelaskan mengenai susur galur keluarganya.

Kata Mukhriz, individu yang datang dari Kerala, India bukan bapa Mahathir sebaliknya adalah datuknya yang bernama Iskandar.

Malah, dalam tulisan di Facebook turut menjelaskan, Kerala bukan bangsa asal India tetapi berketurunan Yaman.

Katanya, Iskandar kemudian berkahwin dengan seorang wanita dari Johor dan mereka mendapat seorang anak lelaki bernama Mohamad - yang adalah bapa Mahathir.

Susulan perkara itu, dua laporan polis dibuat keatas Zahid iaitu dari bekas pemimpin bahagian Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Biro Guaman DAP Kedah Zulhazmi Shariff.

Sementara itu Teo turut mendesak supaya Zahid membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Dr Mahathir dan dalam masa yang sama jawatannya turut digantung bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Saya rasa jawatannya itu perlu digantung sementara sebab ada laporan polis telah dibuat keatasnya. Zahid adalah Menteri Dalam Negeri, jadi apa keyakinan yang polis akan jalankan siasatan,” katanya.

Lihat Komen
ADS