Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada firma audit bebas, RCI siasat FGV
Diterbitkan:  Jul 31, 2017 5:13 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Kerajaan tidak berhasrat melantik firma audit bebas atau menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemelut yang melanda Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata FGV telah melantik tiga panel bebas untuk menjalankan siasatan bermula 24 Julai lalu bagi memastikan semua proses dijalankan secara telus dan mengikut undang-undang.

"Setakat ini kerajaan melihat tiada keperluan untuk melantik firma audit bebas atau menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja," katanya dalam jawapan bertulis di parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang) yang bertanya mengapa kerajaan tidak menubuhkan suruhanjaya bebas atau RCI bagi menyiasat isu mengenai FGV.

Razali berkata, lembaga pengarah FGV telah melantik Datuk Khairil Anuar Aziz untuk memangku tugas ketua pegawai eksekutifnya bagi menggantikan jawatankuasa lembaga eksekutif (BEC) seperti diumumkan sebelum ini.

"Khairil berperanan memastikan operasi perniagaan berjalan seperti biasa sementara proses siasatan dalaman dijalankan terhadap ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai kewangan dan dua lagi pegurus kanan" katanya.

Selain itu, katanya, FGV juga telah mengumumkan dua wakil Felda untuk menduduki kerusi lembaga pengarahnya bagi menyelesaikan isu membabitkan syarikat itu.

Pada 6 Jun lalu, ahli lembaga pengarah Felda yang diketuai pengerusinya, Tan Sri Isa Samad mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad supaya bercuti disebabkan dakwaan melanggar peraturan urus tadbir korporat.

Bagaimanapun, Zakaria mendakwa tindakan diambil terhadap beliau kerana usahanya menyelamatkan FGV daripada pelaburan "tidak masuk akal" berbilion ringgit dan perniagaan bukan teras yang dilakukan oleh lembaga pengarah FGV.

Isa kemudian meletakkan jawatan sebagai pengerusi FGV.

Kerajaan kemudian melantik Datuk Seri Idris Jala untuk menyelesaikan kemelut yang melanda anak syarikat Felda itu, manakala siasatan dalaman dilakukan pada 24 Julai.

Lihat Komen
ADS